Thursday, September 18, 2008

Dakapan Kasih


SiNoPsIs:

Dakapan kasih seorang ibu merupakan dakapan kasih yang terbaik untuk insan di dunia ini. Meskipun dia hanyalah seorang ibu tiri. Dia tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai ibu walau dia sering dihina dan kehadirannya di dalam keluarga itu disalahertikan. Bukan dia yang pinta untuk ditempatkan di dalam rumah agam itu. Demi memenuhi permintaan seorang yang sedang nazak membuatkan dia akur dan menerima takdir Allah.

Namun, pelbagai dugaan datang melanda sejak dia bergelar isteri kepada lelaki yang sebaya bapanya itu. Dia dibuang keluarga sendiri. Anak tirinya pula jatuh cinta terhadapnya. Namun, ada juga anak-anak tirinya yang mengasihinya dan menerimanya sebagai seorang ibu. Tetapi ada juga yang berusaha untuk menyingkirkannya daripada terus berada di dalam keluarga itu.

Namun, sampai bila dia harus bersabar dan menerima segala dugaan yang datang melanda ini?



PrOmO DiAlOg


Pendakian yang penuh dengan cerita sejarah ditemani pemandangan menakjubkan sekitar kotaraya Sydney tiba di kemuncak apabila kaki dijejak di puncak gerbang. Dengan angin yang bertiup damai, nyaman, saujana mata memandang keindahan ibu negeri New South Wales itu. Memang menakjubkan dan lebih menakjubkan akhirnya mereka berjaya menakluki puncak yang tinggi itu. Nyata ketinggian bukan lagi satu halangan untuk mereka semua. Iris Leona melonjak gembira ketika mereka sudah sampai ke kemuncaknya. Tidak sia-sia dia mengikuti mereka semua dan pembabitan Iris Leona dalam pendakian ini akan mencipta satu lagi sejarah di mana perserta termuda berjaya menakhlukinya. Kecoh mulut Iris Leona mengungkapkan keindahan bandaraya Sydney.

“Wow ibu ... cantiknya permandangan di atas ni. Kita dapat lihat semuanya daripada atas. Nasib baik Iris berjaya ke sini. Hmm ... nyamannya udara kat sini.” Iris Leona memeluk lengan Irene Darvinna sambil menghirup udara yang nyaman di puncak jambatan.

“Memang betul apa yang Iris cakapkan tu. Ibu pun terpegun. Kan Ixora ... Eiszac?” Irene Darvinna cuba memancing suara anak-anak tirinya yang berdua itu. Mereka tetap mengunci bicara yang jelingan sahaja yang mengiringi pertanyaan Irene Darvinna. Melihat kedinginan mereka berdua, Alzran Mirzan memegang bahu Irene Darvinna dan memintanya banyak bersabar. Irene Darvinna memahami isyarat yang tubuh yang telah Alzran Mirzan hantar dan dia mengangguk faham.

Namun, cabaran mereka tidak terhenti di situ sahaja. Ombak kuat pantai Bondi pula menanti. Meluncur air di pantai Bondi, itulah cabaran yang menanti sebaik tamat pendakian ke puncak Sydney Harbour Bridge. Memang mengujakan tetapi cukup menakutkan lebih-lebih lagi apabila melihat ombak besar memutih memukul peluncur dan mereka yang memandi manda di situ. Untuk aktiviti itu, Irene Darvinna dan Iris Leona tidak menyertainya kerana Irene Darvinna takut hendak membawa Iris Leona menyertainya memandangkan dia masih kecil lagi. Hanya Alzran Mirzan, Ayreil Eiszacwan dan Leia Ixora sahaja mengikuti aktiviti meluncur di pantai Bondi. Manakala Irene Darvinna dan Iris Leona bermain-main di gigi pantai sambil membina istana pasir.

“Ibu ... Iris bina istana ni untuk kita sekeluarga menetap di dalamnya. Cantik tak istana Iris ni?” Ujar Iris Leona sementara menanti abah, abang dan kakaknya menamatkan aktiviti meluncur.

“Tentulah cantik. Ibu tak sabar-sabar nak menetap di dalamnya.” Balas Irene Darvinna sambil mencium pipi Iris Leona. Tiba-tiba sahaja Iris Leona menjerit apabila terhidang di layar matanya sesuatu yang tidak disangka-sangka.

“Ibu ... tengok orang putih tu tak pakai baju. Eee ... yang tergantung ...” Belum sempat Iris Leona bersuara lagi, Irene Darvinna pantas menutup mata Iris Leona.

“Hish, Iris ... jangan tengok orang putih tu nanti mata bengkak. Jom kita pergi tempat lain.” Irene Darvinna juga terkejut dengan pemandangan yang tidak disangka-sangka itu lalu terus mengheret Iris Leona ke tempat lain. Irene Darvinna tidak menyangka Pantai Bondi yang diiktirafkan sebagai pantai terindah di Sydney, juga menawarkan pemandangan yang boleh dikelaskan sebagai 18SX. Berdegup jantung Irene Darvinna apabila Iris Leona melihat sesuatu yang tidak sepatutnya di lihat. Beristigfar panjang Irene Darvinna dengan kejadian sebentar tadi.