Wednesday, November 12, 2008

Mahakarya Cinta


SINOPSIS:

Dia sering dihina kerana memiliki rupa paras yang tidak cantik. Dia sering dipersenda kerana memiliki kulit yang hitam. Namun, dia disayangi ramai kerana sikapnya yang mudah bergaul dan penyayang. Dia disenangi kerana prihatin dan suka mengambil berat akan perihal orang yang mendampinginya. Dialah Zanzilawati Izzrunnie.

Persahabatannya dengan Zuraizee bermula sejak daripada kecil lagi. Mereka membesar bersama-sama di rumah anak-anak yatim Musyawarah. Mereka bersekolah bersama-sama dan juga berkerja di bawah satu bumbung. Namun persahabatan yang telah dibina selama bertahun-tahun itu akhirnya dilanda badai dan ombak ganas hanya kerana kehadiran Wizana di antara Zuraizee dan dirinya. Pelbagai helah Wizana lakukan demi untuk memisah mereka berdua. Pelbagai kata dilemparkan hanya kerana Wizana mencemburui perhubungan kedua-duanya.

Mampukah Zuraizee mahupun Zanzilawati Izzrunnie mempertahankan hubungan mereka yang terjalin sejak bertahun-tahun dahulu? Tegakah Wizana memisahkan kedua-dua mereka? Berputikkah cinta di antara dua orang sahabat ini walaupun kedua-duanya menegaskan bahawa di antara mereka hanyalah mempunyai satu perhubungan iaitu perhubungan adik-beradik.

PrOmO DiAlOg:

“Saya pun akan rindu dengan...” John Norafizan sengaja meleretkan kata-katanya membuatkan hati Zanzilawati Izzrunnie sedikit tenang sebelum keberangkatan.

“Dengan apa?” Zanzilawati Izzrunnie menjegilkan matanya terus menusuk ke bebola mata John Norafizan.

“Pelukan Cik Zila,” sambung John Norafizan semula sambil tersengih.

Meledak ketawa kesemua mereka dalam suasana yang hiba.

“Sekali dalam seumur hidup dan awak takkan dapat lagi pelukan saya selepas ini dan mungkin untuk selama-lamanya tapi... tak aci kerana awak tak membalas pelukan saya. Tak dapat saya nak rasa bagaimana hangatnya pelukan awak.” Galak Zanzilawati Izzrunnie menyakat John Norafizan.

“Nak rasa? Meh saya peluk sekarang.” John Norafizan mula menghampiri Zanzilawati Izzrunnie untuk memeluknya.

Terkejut badak Zanzilawati Izzrunnie lalu dia menjerit kecil dan dia melompat ke belakang, menyembunyikan diri di belakang seseorang untuk menghindari daripada John Norafizan memeluknya. Lingkaran tangannya semakin erat di bahu orang itu.

“Argh! Jangan, JN. Urat akal terputus ke apa? Tolong.” Gelagat Zanzilawati Izzrunnie meledakkan semula ketawa mereka yang melihat insiden itu.

“Ha... tahu pun takut. Tadi nak sangat.” John Norafizan juga tidak kurang galak dengan usikannya. Padanlah dia dengan Zanzilawati Izzrunnie. Kaki pengusik.

“Mengada-ngada. Wek.” Zanzilawati Izzrunnie menjelirkan lidahnya walaupun pelukannya di bahu orang itu masih tidak terlerai.

“Cik Zila, lepaslah bahu saya. Takkan rindu lagi nak peluk?” Begitu dekat suara lelaki itu di pendengaran telinga Zanzilawati Izzrunnie. Pucat wajah Zanzilawati Izzrunnie seketika. Kalau ditoreh dengan pisau pun pasti tidak berdarah.

“Ha... siapa yang aku peluk ni? Maira...” Zanzilawati Izzrunnie memanggil nama Nurhumaira yang juga turut menghantarnya di KLIA pada pagi itu. Tangannya beralih daripada terus memeluk erat tubuh jejaka itu lalu menyebamkan wajahnya ke bahu Nurhumaira.

Entah ke berapa kali ketawa mereka meletus melihat insiden-insiden lucu yang terjadi secara spontan.

“Salah kau juga... pakat rembat saja bahu sesiapa pun tanpa melihat siapa dia yang kau peluk.” Nurhumaira menyedekahkan kata-katanya sambil menyengih.

Kelat wajah Zanzilawati Izzrunnie ketika itu. “Apa tengok-tengok, Hazeef? Seronoklah tu.” Keras suaranya.

Hazril Hazeef melebarkan sengihannya seperti tidak cukup ruang.

“Takkanlah tak seronok dapat pelukan percuma kali kedua? Orang lain sekali tapi saya dua kali. Bangganya... kalau kali ketiga, confirm saya masuk meminang Cik Zila.” Hazril Hazeef tersengih nakal.

“Oi... lebihlah tu. Cikadak betul. Ada hati tu.... kelapa santan.” Terkeluar ayat itu tanpa sedar.

“Bahasa apa tu, Cik Zila? Kasih sayang ke?” Hazril Hazeef masih tidak mahu keluar dari kurungan gurauan.

“Banyaklah kau punya kasih sayang,” balas Zanzilawati Izzrunnie selamba.

Sekali lagi dan lagi ketawa mereka pecah.

Muammar dan Zuraizee hanya menggeleng kepala melihat tingkah Zanzilawati Izzrunnie yang cukup menghiburkan hati.




Thursday, September 18, 2008

Dakapan Kasih


SiNoPsIs:

Dakapan kasih seorang ibu merupakan dakapan kasih yang terbaik untuk insan di dunia ini. Meskipun dia hanyalah seorang ibu tiri. Dia tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai ibu walau dia sering dihina dan kehadirannya di dalam keluarga itu disalahertikan. Bukan dia yang pinta untuk ditempatkan di dalam rumah agam itu. Demi memenuhi permintaan seorang yang sedang nazak membuatkan dia akur dan menerima takdir Allah.

Namun, pelbagai dugaan datang melanda sejak dia bergelar isteri kepada lelaki yang sebaya bapanya itu. Dia dibuang keluarga sendiri. Anak tirinya pula jatuh cinta terhadapnya. Namun, ada juga anak-anak tirinya yang mengasihinya dan menerimanya sebagai seorang ibu. Tetapi ada juga yang berusaha untuk menyingkirkannya daripada terus berada di dalam keluarga itu.

Namun, sampai bila dia harus bersabar dan menerima segala dugaan yang datang melanda ini?



PrOmO DiAlOg


Pendakian yang penuh dengan cerita sejarah ditemani pemandangan menakjubkan sekitar kotaraya Sydney tiba di kemuncak apabila kaki dijejak di puncak gerbang. Dengan angin yang bertiup damai, nyaman, saujana mata memandang keindahan ibu negeri New South Wales itu. Memang menakjubkan dan lebih menakjubkan akhirnya mereka berjaya menakluki puncak yang tinggi itu. Nyata ketinggian bukan lagi satu halangan untuk mereka semua. Iris Leona melonjak gembira ketika mereka sudah sampai ke kemuncaknya. Tidak sia-sia dia mengikuti mereka semua dan pembabitan Iris Leona dalam pendakian ini akan mencipta satu lagi sejarah di mana perserta termuda berjaya menakhlukinya. Kecoh mulut Iris Leona mengungkapkan keindahan bandaraya Sydney.

“Wow ibu ... cantiknya permandangan di atas ni. Kita dapat lihat semuanya daripada atas. Nasib baik Iris berjaya ke sini. Hmm ... nyamannya udara kat sini.” Iris Leona memeluk lengan Irene Darvinna sambil menghirup udara yang nyaman di puncak jambatan.

“Memang betul apa yang Iris cakapkan tu. Ibu pun terpegun. Kan Ixora ... Eiszac?” Irene Darvinna cuba memancing suara anak-anak tirinya yang berdua itu. Mereka tetap mengunci bicara yang jelingan sahaja yang mengiringi pertanyaan Irene Darvinna. Melihat kedinginan mereka berdua, Alzran Mirzan memegang bahu Irene Darvinna dan memintanya banyak bersabar. Irene Darvinna memahami isyarat yang tubuh yang telah Alzran Mirzan hantar dan dia mengangguk faham.

Namun, cabaran mereka tidak terhenti di situ sahaja. Ombak kuat pantai Bondi pula menanti. Meluncur air di pantai Bondi, itulah cabaran yang menanti sebaik tamat pendakian ke puncak Sydney Harbour Bridge. Memang mengujakan tetapi cukup menakutkan lebih-lebih lagi apabila melihat ombak besar memutih memukul peluncur dan mereka yang memandi manda di situ. Untuk aktiviti itu, Irene Darvinna dan Iris Leona tidak menyertainya kerana Irene Darvinna takut hendak membawa Iris Leona menyertainya memandangkan dia masih kecil lagi. Hanya Alzran Mirzan, Ayreil Eiszacwan dan Leia Ixora sahaja mengikuti aktiviti meluncur di pantai Bondi. Manakala Irene Darvinna dan Iris Leona bermain-main di gigi pantai sambil membina istana pasir.

“Ibu ... Iris bina istana ni untuk kita sekeluarga menetap di dalamnya. Cantik tak istana Iris ni?” Ujar Iris Leona sementara menanti abah, abang dan kakaknya menamatkan aktiviti meluncur.

“Tentulah cantik. Ibu tak sabar-sabar nak menetap di dalamnya.” Balas Irene Darvinna sambil mencium pipi Iris Leona. Tiba-tiba sahaja Iris Leona menjerit apabila terhidang di layar matanya sesuatu yang tidak disangka-sangka.

“Ibu ... tengok orang putih tu tak pakai baju. Eee ... yang tergantung ...” Belum sempat Iris Leona bersuara lagi, Irene Darvinna pantas menutup mata Iris Leona.

“Hish, Iris ... jangan tengok orang putih tu nanti mata bengkak. Jom kita pergi tempat lain.” Irene Darvinna juga terkejut dengan pemandangan yang tidak disangka-sangka itu lalu terus mengheret Iris Leona ke tempat lain. Irene Darvinna tidak menyangka Pantai Bondi yang diiktirafkan sebagai pantai terindah di Sydney, juga menawarkan pemandangan yang boleh dikelaskan sebagai 18SX. Berdegup jantung Irene Darvinna apabila Iris Leona melihat sesuatu yang tidak sepatutnya di lihat. Beristigfar panjang Irene Darvinna dengan kejadian sebentar tadi.

Saturday, June 28, 2008

Janji Seorang Puteri


SiNoPsIs :

Puteri Ezza yang memiliki wajah hodoh sering disisihkan oleh kakaknya, Puteri Ezna. Puteri Ezna tidak mahu bermain dengan Puteri Ezza dan sering menghinanya. Macam-macam Puteri Ezna lakukan kepada Puteri Ezza demi untuk menjatuhkan adiknya itu.

Suatu hari, Puteri Ezza bertemu dengan seorang pemuda yang berwajah hodoh. Memandangkan pemuda itu juga tidak mempunyai kawan dan sering kesunyian, Puteri Ezza tidak ragu-ragu menghulurkan persahabatannya. Puteri Ezza berjanji akan bersahabat dengan pemuda itu sehingga ke akhir hayatnya. Dia tidak akan memungkiri janji yang telah dilafaz. Namun persahabatan Puteri Ezza dan pemuda itu tidak bertahan lama apabila Raja Hashmi iaitu ayah kepada Puteri Ezza menentang persahabatan anaknya.

Mampukah Puteri Ezza mengekalkan persahabatannya dengan pemuda berwajah hodoh itu sebagaimana janjinya?

PrOmO DiAlOg:

Puteri Ezza yang sedang memandang purnama, sedikit terperanjat apabila melihat seekor burung yang pernah dimilikinya sedang mendendangkan sebuah lagu yang cukup sedap di pendengaran telinga. Puteri Ezza amat terhibur dengan telatah burung itu. Sedikit sebanyak kerinduannya pada Arash dapat diubati. Hanya Arash sahaja yang mampu membuatkan burung-burung bernyanyi. Tanpa Arash tidak akan ada burung yang boleh bernyanyi. Kebolehan Arash itu amat mengkagumkan dirinya. Sedang asyik melayani nyanyian burung itu, tiba-tiba Puteri Ezza seperti dapat menangkap sesuatu daripada nyanyian yang sedang didendangkan. Puteri Ezza cuba meneliti apakah yang sedang disampaikan oleh burung itu, lalu dia berdiam diri dan terus mendengar nyanyian burung itu yang agak berulang-ulang. Suara burung itu yang halus menyebabkan Puteri Ezza sukar memahami maksud nyanyian burung itu.

“Wahai burung, cuba kau nyanyikan sekali lagi, apakah yang sedang kau cuba sampaikan kepada aku?” Burung itu seolah-olah faham dengan permintaan Puteri Ezza lalu dia mendendangkan semula nyanyiannya.


Di penjara istana dia ditempatkan
Disiksa dipukul kerana merindui
Setiap kali terkenang sahabat yang jauh di mata
Kerana sahabat sejati sukar diganti.

Meredah jauh onak dan duri
Tidak hirau ribut dan badai
Persahabatan sejati akan dikekalkan
Selagi nyawa dikandung badan
Kerana ia lambang dua hati.

Sunday, February 10, 2008

Hanya Dikau


SINOPSIS :

Peristiwa pahit yang berlaku pada hari pernikahan membuatkan Ira Fashua, wanita yang telah berumur tidak lagi mempercayai lelaki mahupun cinta yang datang bertandang. Dia sanggup hidup sendiri selagi kesangsiannya terhadap lelaki masih melekat kukuh di hati dan jiwanya.Hakikatnya, Ira Fashua seperti wanita lain yang ingin dicintai, dikasihi dan dibelai namun setiap kali dia ingin menyambut salam pecintaan, dia terpaksa menolak setelah bayangan silam datang menerjah di layar matanya.Namun, pertemuan Ira Fashua dengan Erze Zullis telah merubah corak kehidupannya yang lama. Pertemuan yang tidak disengajakan dengan Erze Zullis ketika menyambut kepulangan sepupu Ira Fashua, Nuradriana Hany di lapangan terbang telah mencetus pertengkaran antara mereka. Pantang bertemu pasti percaturan kata akan terhasil.Kebencian sesama sendiri menular di hati masing-masing sehinggalah pada suatu hari Erze Zullis menyedari bahawa dia mencintai Ira Fashua dalam diam walaupun wanita itu lebih tua daripadanya. Namun begitu, kehadiran Xu Da Feng, usahawan berbangsa Cina-Korea kembali menyuntik rasa cinta di hati Ira Fashua untuk menerima kehadiran lelaki di dalam hidupnya semula.Dapatkah Erze Zullis menagih cintanya dari Ira Fashua dan mengeluarkan Ira Fashua dari dunia kesangsiannya terhadap lelaki? Siapakah lelaki yang telah berjaya mencuri hati Ira Fashua? Erze Zullis atau Xu Da Feng?


PROMO DIALOG :

“Banyaknya minyak, makcik ... Eee, boleh kau tahan dengan minyak-minyak ni? Tak bau busuk ke? Yaakkhh!” Ira Fashua terus mengusik Nuradriana Hany dengan menutup hidungnya seolah-olah bau minyak itu terlalu busuk.

“Apa busuk-busuk ni? Aku tak bau apa-apa pun. Kau jangan nak lebih-lebih!” Nuradriana Hany melenting geram kerana dia sudah tidak tahan diusik oleh Ira Fashua sepanjang sesi mengurut.

“Mana ada aku lebih-lebih. Memang busuk baunya. Eee ...” Ira Fashua menutup hidungnya menambahkan lagi kesakitan di hati Nuradriana Hany.

“Makcik tengoklah ... Dia saja nak sakitkan hati saya. Minyak ni tak bau busuk kan?” Nuradriana Hany mengadu kepada mak andam setelah tidak dapat mematahkan kata-kata Ira Fashua.

“Eleh ... macam tu pun nak mengadu pada mak andam. Tapi, selamatlah ... pengapit pengantin tak payah nak sapu dengan minyak-minyak busuk ni. Fuh! Leganya ...” Ira Fashua mengipas-ngipas dirinya dengan tangan menunjukkan reaksi lega.

“Makcik ...” Nuradriana Hany masih lagi mengadu meminta mak andam itu menyebelahi dirinya.

“Korang berdua ni ... perangai tak ubah macam budak-budak. Dah nak kahwin, buatlah cara nak kahwin.” Bukan hendak menyebelahi sesiapa, malah kata-kata amarah pula yang dikeluarkan oleh mak andam kepada kedua-duanya.

“Entah dia ni ... dah nak kahwin, buatlah cara nak kahwin jangan buat perangai macam budak-budak!” Ira Fashua mengambil kata-kata mak andam sebagai bahan usikan untuk Nuradriana Hany. Nuradriana Hany semakin geram dengan setiap usikan Ira Fashua.

“Kaulah yang mula dulu sampai aku berperangai macam ni!” Nuradriana Hany mula membuka taringnya.

“Eh, jangan nak salahkan aku pula. Aku tak ada kena-mengena dalam kes kau!” Ira Fashua menafi sekeras-kerasnya Nuradriana Hany berperangai sedemikian berpunca daripadanya.

“Sudahlah tu, korang berdua ni! Korang ni suka makan cenonggeng ayam, ye? Patutlah mulut sorang-sorang bising sangat.” Mak andam terpaksa mencelah untuk memberhentikan tembakan kata yang sedang berpadu itu bak peluru berpandu.

“Kegemaran dialah cenonggeng ayam tu, makcik ... patutlah mulut tak reti nak duduk diam!” Pantas sahaja Ira Fashua menembak kata setelah mak andam itu menutur ayat yang terakhir.

“Bila masa pula aku suka makan cenonggeng ayam? Bukan kegemaran kaukah cenonggeng ayam tu?” Nuradriana Hany juga tidak mahu mengalah dalam medan bicara ini. Mak andam yang tidak tahan dengan petelingkahan kedua-dua mereka, terus menamatkannya dengan satu cara.

“Sudah! Jangan nak bertekak kat sini. Pening kepala aku dengar. Kau ke sini. Kau bising sangat dari tadi, kan ...” Mak andam menarik lengan Ira Fashua lalu ditanggalkan satu-persatu pakaian wanita itu sebelum kain batik disarungkan ke tubuh. Terpinga-pinga Ira Fashua seketika dengan perlakuan mak andam. Namun, dia tidak menolak malah seperti orang dipukau hanya menurut sahaja dengan setiap kehendak mak andam itu.

Seketika kemudian, habis seluruh badan Ira Fashua dikerjakan oleh mak andam itu dengan melumurkan minyak sama seperti Nuradriana Hany. Ira Fashua terus-menerus menguncikan bicaranya kerana masih terkejut apabila badannya telah pun berlumuran dengan minyak yang dikatakan busuk sebentar tadi. Apa yang berlaku kini mengundang ketawa Nuradriana Hany. Terkekeh-kekeh Nuradriana Hany gelakkan Ira Fashua. Besar pulak tu. Sesiapa yang mendengar, pasti akan terundang amarahnya.

“Hahaha ... padan dengan muka kau! Kata kat aku lagi ... sekarang, kau pun kena rasa apa yang aku rasa.” Ujar Nuradriana Hany dalam sisa ketawa yang masih melekat di rongga tekaknya. Mencuka masam wajah Ira Fashua apabila terkena dengan bahang usikan Nuradriana Hany. Hendak melarikan diri juga tidak sempat kerana mak andam itu sedang rancak mengurutnya. Sesekali, terasa sedap pula apabila menerima urutan seperti itu.

“Diamlah kau! Ini semua gara-gara kaulah, aku pulak yang kena urut! Mana ada pengapit pengantin turut diurut ... tapi dalam majlis kau ni sempoi sikit, pengapit pun kena jugak. Tak guna betul!” Lenting Ira Fashua tetapi disambut dengan ketawa besar Nuradriana Hany dan mak andam.

“Baguslah, sekurang-kurangnya aura pengantin aku turut dapat dekat kau sikit. Makcik, tolong baca sekali ayat-ayat mempercepatkan jodoh. Kalau ada ayat tolak bala, lagi bagus!” Giliran Nuradriana Hany pula membuka gelanggang usikan buat Ira Fashua setelah pintu gelanggang itu telahpun ditutup sebentar tadi.

“Hoi! Hantu raya punya budak! Apa ayat tolak bala pulak ... aku tak bawa balalah tapi bawa tuah, tau. Kau jangan nak lebih-lebih, aku simbah dengan minyak ni baru tahu. Jodoh aku lambat sikit aje, bukannya banyak ...” Ira Fashua terus melenting geram.

Hati Ini Milik Siapa


SINOPSIS :

Cinta pertamanya bersama Hezriq yang kecundang menjadikan Ezmira seorang perlarian. Dia membina hidup baru di tanah kelahirannya, Pulau Pinang dan menjadi seorang prejudis terhadap cinta. Setelah berjaya melupakan kenangan pahit itu, dia terpaksa kembali ke kota yang menyimpan seribu satu kenangan kerana dinaikkan pangkat.

Bekerja dengan Jimmy Shanley telah membibitkan semula rasa cinta di dalam hatinya. Dan ternyata dia tidak bertepuk sebelah tangan. Danish, sepupu kepada Hezriq yang mengharap cintanya membuatkan dirinya serba salah.

Perkara yang ditakuti akhirnya muncul apabila Hezriq ingin kembali kepada dirinya dan ingin menjadikannya sebagai isteri kedua. Mampukah dia melukai hati isteri Hezriq? Siapakah akhirnya yang berjaya memiliki sekeping hati milik Ezmira?


PROMO - DIALOG :


“Ye. Dah lama Mira tak tengok bintang-bintang secantik ni. Macam pasangan kekasih pula saya lihat kita ni yang bersantai di bawah sinaran cahaya purnama.” Aku tergelak sendiri dengan ayat yang telah aku tuturkan. Itulah aku yang sekejap membahasakan diri aku kepada Jimmy Shanley ‘saya’ dan sekejap ‘Mira’. Aku tidak tetap dengan panggilan diri sendiri ketika berbicara dengan Jimmy Shanley. Tidak seperti Danish, yang telah kutetapkan panggilan diri ini kepada ‘Mira’ setiap kali berbual dengannya. Jimmy Shanley kulihat menguntum senyuman untuk kesekian kalinya.

“Kalau benar pun, apa salahnya?” Jimmy Shanley melirik manja ke arahku. Aku mula berasa tidak enak, lalu segera aku menolak kemungkinan pada kata-katanya.

“Aaa ... Encik Jimmy, jangan lebih-lebih. Tak larat tau saya nak pesan berulang kali yang kita ni kawan mesra saja. Kan?” Aku menekan suara. Jimmy Shanley menguntum senyumnya lagi.

“Saya faham. Awak tahu Mira, saya dah lama tak berdua-duaan dengan wanita sebegini setelah hati saya dilukai dengan begitu teruk. Pengalaman cinta yang lalu membuatkan saya tidak mempercayai pada mana-mana wanita lagi tetapi kehadiran awak telah mengubah persepsi yang saya pegang selama ini. Terima kasih, Mira ... kerana telah mengubah pandangan saya terhadap wanita selama ini. Tidak rugi saya mengenali diri awak. Ternyata, awak berbeza daripada wanita-wanita yang pernah saya jumpa dan dampingi.” Jimmy Shanley menyatakan sesuatu yang tidak pernah dinyatakannya sebelum ini. Aku sedikit terharu dengan penghargaan yang diberikannya buatku.

Apa hendak buat Jimmy Shanley, nasib kita serupa. Aku juga tidak percayakan kepada mana-mana lelaki setelah hati aku dirobek dengan nanah kecewa yang teramat mendalam sehingga bisanya masih lagi aku terasa sampai kini. Sebab itulah juga susah untuk aku jatuh cinta walaupun lelaki itu setampan dan sebaik kau. Maafkan aku Jimmy Shanley kerana tidak dapat mendalamkan lagi hubungan kita. Sekiranya kepercayaan itu muncul semula dalam diri aku, mungkin kau yang akan menjadi pilihan hati ini.

“Hati yang terluka, Encik Jimmy ... memang payah untuk diubati, apatah lagi hendak membina kepercayaan pada cinta itu semula. Sebab itu saya lebih senang berkawan daripada berkasih kerana hati saya telah mati untuk membina cinta semula.” Aku mengambil posisi yang sama dengan Jimmy Shanley dalam meluahkan perasaan hati yang terpendam selama ini.

“Jangan matikan terus perasaan cinta itu, Mira ... kerana masih ada yang ikhlas menyayangi diri awak. Hanya mereka yang terluka sahaja dapat memahami di antara satu sama lain jika cinta itu wujud kembali. Awak boleh melupakannya untuk seketika tetapi jangan terus membunuhnya. Cuba untuk buka ruangan itu semula agar insan lain boleh bertakhta dan menabur kasih sejati kali ini ke dalam ladang kontang awak. Jom, Mira ... kita balik. Dah lewat benar ni.” Jimmy Shanley terus memimpin tangan aku untuk turun ke bawah.

Aku tersentuh dengan ungkapan yang diluahkan oleh Jimmy Shanley. Memang benar apa yang dikatakannya, namun hati aku masih belum boleh menerima mana-mana kehadiran lelaki lagi buat masa sekarang. Insya-Allah, mungkin suatu hari nanti ... pintu hati aku akan terbuka semula untuk insan yang bernama lelaki.

Kau Yang Tak Mengerti


SINOPSIS :

Aku pernah bertanya kepada diriku sendiri, mengapa tidak ku putuskan sahaja perhubungan yang sia-sia dan menyakitkan ini. Namun aku enggan memikirkan kesudahannya walau jauh di lubuk hatiku telah tersedia jawapannya. Aku pasrah dalam menghadapi segalanya walau bukan ini jalan yang ku pilih ... ia sudah ditakdirkan. Dalam sedar aku cuba menyirat luka-luka di hati yang aku sendiri sedar sinar bahagia bersamanya kian malap. Apa lagi tinggal untukku di bumi yang serba asing ini selain dia yang ku harapkan menjadi pelindungku biarpun hatiku tidak pernah mengakui bahawa aku akan selamat di dalam dakapannya yang kian jauh dan jauh ...

PROMO - DIALOG :

“Kau ingin berasamara dengan aku, kan? Aku akan berikan. Sudah lama kau tunggu, bukan? Kau tetap akan dapat dan aku tak kan rugi apa-apa.” Afroz Mazher terus mencemari wajah Eleanur Aqilla dengan setiap ciumannya. Eleanur Aqilla mula meronta ketika bibir Afroz Mazher mencecah ke pangkal leher dan mula menuruni ke dadanya.

“Apa ni, tuan? Saya tak minta untuk berasmara dengan tuan. Lepaskan saya! Ami tuan yang lebih-lebih, apa lagi yang mampu saya katakan untuk menutup hakikat yang sebenarnya. Tolong jangan perlakukan saya sebegini, tuan!” Semakin kuat Eleanur Aqilla meronta, semakin kuat nafsu rakus Afroz Mazher memuncak. Air mata Eleanur Aqilla juga sudah pun merembes dengan lajunya ketika tubuhnya separuh terdedah.

“Engkau yang buat aku tidak tahan. Sekarang, aku akan selesaikan apa yang telah aku mula. Jangan bimbang sayang, aku akan berikan sepenuh kepuasan pada kau sehingga kau tak terfikir untuk menikmatinya dengan lelaki lain.” Senyuman yang terukir di bibir Afroz Mazher begitu menjengkelkan Eleanur Aqilla. Buat seketika, Eleanur Aqilla terfikir dirinya bagaikan seorang pelacur disaat itu. Dia tidak ingin berasmara dengan tubuhnya yang dijamah sebegitu rupa.

“Aku tidak ingin kepuasan yang kau tawarkan. Lepaskan aku! Tolong jangan jadikan aku sebagai pelacur. Lagipun, kau telah janji tak akan menyentuh tubuhku. Kenapa dulu kau boleh tahan nafsu kau ... tetapi tidak lagi sekarang? Aku tidak ingin menjadi milik kau sebegini rupa, sedangkan di hati kau tidak pernah mengiktirafkan aku sebagai isteri, walaupun hubungan kita sememangnya halal di sisi agama. Aku hanya rela menjadi milik kau setelah kau rela menerima kehadiran aku sepenuhnya. Kenapa lelaki hanya pandai menabur janji tetapi tidak pandai mengotakannya?” Raungan Eleanur Aqilla yang semakin kuat membuatkan nafsu berahi Afroz Mazher ...

Dialah Di Hati


SINOPSIS :

Kerana pernah dikecewakan Ash’rizal, cinta pertamanya, Rina Erviana nekad menutup hatinya pada lelaki. Pertemuan di satu ekspedisi membibitkan cinta di hati Yafiz, namun keegoan Rina mengatasi segalanya. Bagaimanapun, Yafiz tidak jemu-jemu memburu cintanya dan Rina Erviana akhirnya nekad menyerahkan cintanya.

Di saat cinta sedang mekar, Yafiz merantau ke luar negara demi membuktikan sesuatu kepada keluarganya dan Rina Erviana terikat pada janjinya pada hatinya sendiri. Muncul Datuk Zeffri namun ditolak mentah, begitu juga Ash’rizal yang ingin merebut hatinya kembali.

Kehadiran Izzudin membuatkan hatinya terusik namun dia terpaksa melupakan hati pemuda tersebut demi janjinya. Bagaimanapun kehadiran Tengku Irfan benar-benar mengingatkannya pada Yafiz. Mampukah Rina Erviana mempertahankan kesetiaannya atau perlukah dia mengorbankan sekeping hati lelaki yang benar-benar menyintainya?


PROMO - DIALOG :

“Orang cakap hanya ada dua cara sahaja untuk membuat seorang gadis tu diam. Yang pertama kerat lidahnya. Oleh kerana awak ni gadis yang boleh dikatakan cantik di mata saya maka saya tak sanggup untuk berbuat demikian.”

“Kedua?” Wah! Semakin berani aku. Kononnyalah. Sebenarnya aku berlagak begitu untuk menutup gentar yang melanda di hati.

“Kedua dengan cara mencium untuk membolehkan awak diam.” Terperanjat aku mendengar caranya yang kedua untuk membuat aku diam. Otak aku ligat memikirkan untuk tidak membenarkan dia mengota apa yang dikata.

“Eh, kita ni orang Islam. Mana boleh cium-cium tanpa ikatan yang sah? Awak ni tak belajar agama ka?” Ku kira ayat itu sudah cukup untuk mempertahankan maruah yang menjadi benteng diri aku.

“Saya pun belajar agama dan saya tahu yang mana haram dan yang mana halal. Tapi oleh kerana cara pertama terlalu kejam maka saya akan mengambil cara yang kedua kerana ia lebih lembut dari cara yang pertama kan?” Yafiz tersenyum sinis sambil mendekatkan mukanya dengan mukaku. Wah! Dia betul-betul ingin melakukannya. Aku semakin gelabah dan dengan pantas aku menekup mulut.. Tidak rela rasanya diri dicium oleh pemuda itu. Mana boleh mencemarkan bibirku secara percuma sebegitu. Lainlah kalau benar dia suamiku, akan aku serahkan segalanya pada diri dia.

“Ooo... tahu pun tutup mulut. Jadi, awak akan diam?”

Aku pantas mengangguk tanda bersetuju. Kemudian, aku mengangkat jari telunjuk dan jari hantu sementara jari yang lain ku genggam erat tanda berdamai. Yafiz tersenyum puas setelah dapat mengurangkan kemuraian aku tanpa kenal erti penat.

Aku Cinta Kamu


SINOPSIS

Bukan setahun dua aku simpan rasa tersinggungku ini padamu. Bertahun lamanya aku biarkan ia begitu … terus kekal begitu. Sehinggalag bila kita ditemukan semula, kau dan aku rupa-rupanya telah jauh berbeza. Masa dan keadan mengajar aku menjadi manusia yang cepat pandai. Namun tidak cepat untuk melupakan ... dan sesekali tidak akan melupakan

Ezzy ... andai rupa paras menjadi taruhan ... Sya rela meletakkan diri ini sebagai taruhanmu. Sya akan lakukan ia demi senuah dendam. Dan itulah Sya tidak mampu lakukan sejak dahulu lagi ... ingin melihat kau tersungkur di hujung kaki seorang perempuan yang hatinya telah ‘mati’ kerana dicuri. Lalu aku pun main ‘sembunyi-sembunyi’ untuk mengaburkan mata dan hatimu. Dan kau tidak pernah mengesyaki kewujudanku di tengah-tengah gelanggang permainanmu. Sedang aku saban waktu tersenyum menang pada setiap permainan yang engkau ciptakan. Kemenangan yang aku raikan bersama teman-teman. Kemenangan yang seringnya menerbitkan rasa rindu dan kasihku padamu. Kerana hatiku sebenarnya telah lama tewas pada setiap permainan ciptaanmu.


PROMO - DIALOG :

“Hai Ezral, pagi-pagi lagi menapak kat sini. Cari siapa?” lantang Azlin bersuara apabila melihat kelibat Ezral menapak ditempat Marsya Qistina.

“Cari siapa lagi kalau bukan Qisteen. Tak gitu Ezral?” Katrina meyampuk.

“Kalau dah tahu buat apa tanya lagi. Bagi tau cepat ke mana pula dia pergi kali ni? Apa pula alasan korang. Susah betul kalau aku yang datang berjumpa dengan dia. Haa... cakap...cakap... Jangan tak cakap!” Ezral menempelak dengan satu senyuman sinis terkena tepat pada keempat-empat gadis itu.

Marsya Qistina yang masih lagi berada di bawah meja menahan ketawa agar tidak terburai.

‘Kurang asam punya Ezral. Qisteen punya pasal habis kami pula yang terkena,’ desis hati keempat-empat gadis itu yang hampir sama ayatnya.

“Hoi, apa kau ingat kami ni kembar siam Qisteen ke? Nak ambil tahu hal dia, ke mana dia pergi, dengan siapa dia pergi... sorrylah beb! Tak ada masanya nak jaga tepi kain dia.,” Azlin yang panas telinga membalas, tempelakan Ezral mewakili rakan-rakan yang lain.

“Manalah nak tahu korang selalu bersepakat dengan dia...” Ezral juga tidak mahu mengalah.

“Gara-gara kaulah kami terpaksa bersepakat,” Azlin terlepas kata. Balasannya katanya pada Ezral menerima jelingan yang amat tajam rakan-rakan yang lain. Dia hampir saja hendak membongkarkan segala rancangan Marsya Qistina yang telah diatur sejak beberapa tahun yang sudah. Azlin terdiam setelah mulut murainya tidak dapat menampung kata.

‘Tak guna punya Azlin. Kau hampir membongkar rancangan aku. Nasib baik kau cepat tersedar. Kalau tidak, aku tak kan maafkan kau. Siaplah kau lepas Ezral blah nanti,’ getus hati Marsya Qistina yang turut mendengar perbualan itu.

“Kenapa kerana aku pula? Apa yang telah aku buat padanya? Jumpa dia pun belum lagi tahu. Pandai-pandai je nak menuduh aku,” Ezral masih ingin lagi mengajak Azlin di medan perbalahan kata. Katrina terus bersuara kerana tidak mahu Azlin terlepas kata lagi.

“Maaflah Ezral kalau Qisteen yang kau cari, kali ini kami betul-betul tidak tahu ke mana dia pergi. Selalunya dia cakap ke mana dia pergi dan di mana dia berada even di tandas. Tapi hari ni tiba-tiba dia lesap. Tadi dia ada di tempatnya. Kalau kau nak kata kami bohong pun terserahlah pada kau kerana kami pun memang tak tahu ke mana dia pergi. Sorry yek!” Katrina menjelas dengan panjang lebar untuk memahamkan jejaka yang sedang menanti tanpa rasa jemu. Ezral mencebik.

“Tak pelah kalau korang tak tahu. Aku balik dulu. Asal je aku datang, dia pasti tak ada. Macam tahu-tahu je aku nak datang. Bagus sangat ke hah si Qisteen tu. Apasal aku dan Zairil je susah nak jumpa dia. Orang lain senang-senang dapat jumpa dia. Benci betul!” Ezral membebel sendirian. Berkarung-karung bebelan yang dia hadiahkan buat Marsya Qistina yang sudah penat menunggu pemergian jejaka itu. Sementara menunggu, kertas-kertas yang bersepah di bawah meja tadi sudah kemas disusunnya tanpa disedari oleh pemuda yang berada dekat dengannya.

‘Nasib baik kau tak perasan aku yang sedang mengemas di bawah menja ni Ezzy. Kalau tidak, naya... Wa cakap lu!” ketawa Marsya Qistina lagi.

Di Kala Cinta Terdetik


SINOPSIS :

Ezmira dan Hezriq sering bertelagah pendapat apabila bersua. Pertengkaran demi pertengkaran sering tercetus di antara mereka. Namun dalam diam berputik satu perasaan yang sukar dimengertikan oleh Ezmira pada Hezriq. Ezmira mengkagumi keperibadian pemuda itu walaupun jejaka pujaannya itu merupakan seorang playboy. Entah kenapa Ezmira tidak berani meluahkan apa yang tersirat.

Ketika menjalani praktikal sebagai wartawan pelatih, jejaka bernama Danish Dato Zaidi muncul dalam hidup Ezmira dan cuba memikatnya. Jemputan Danish ke banglonya telah menemukan Ezmira dengan bangsal ‘castle’ yang dianggapnya unik tetapi dikatakan berhantu oleh Danish. Namun bagi Ezmira terselit sesuatu rahsia disebaliknya. Ezmira cuba untuk membongkarkan rahsia itu. Danish yang menaruh hati akhirnya melamar Ezmira.

Hatinya remuk bila Hezriq memperkenalkan teman wanitanya kepada Ezmira. Tidakkah selama ini Hezriq memahami isyarat cinta yang sering dilemparkan Ezmira kepadanya? Dan terbongkarkah rahsia selama ini disimpan di bangsal ‘castle’ milik keluarga Danish?


PROMO - DIALOG :

“Mira, kau tak apa-apakah?” Muka Kak Inaz pucat lesi, tiada setitik darah pun yang mengalir pada wajahnya yang ayu itu.

“Mira tak apa-apa. Kak Inaz janganlah risau. Mira selamat.” Aku cuba berlagak tenang untuk tidak merisaukan Kak Inaz walaupun keadaan itu cukup menggentarkan perasaan wanitaku.

“Kau gila Mira! Ambil tindakan sendiri begitu. Kalau sesuatu terjadi pada kau bagaimana? Akak yang akan dipersalahkan, tahu tak! Risau akak tau! Lain kali jangan buat macam tu lagi, yang kau pun sama Man apasal diikutkan saja cakap budak ni.” Kak Inaz memarahiku. Tapi aku tetap dengan muka yang selamba dan Abang Man hanya tersenyum kelat.

Pada keheningan petang itu, tidak semena-mena aku dan Abang Man turut dijadikan berita eksklusif untuk di paparkan. Ramai pihak media yang tidak mahu ketinggalan menemuramah kami untuk akhbar masing-masing. Mereka begitu taksub dengan keberanian yang kami tonjolkan untuk menggagalkan cubaan penyeludup yang berbahaya daripada melarikan diri dan terlepas begitu sahaja.

Tangisan Dalam Kerinduan


SINOPSIS :

Sekiranya kau lihat titisan air hujan jatuh menimpa bumi, itulah tangisanku dalam kerinduan buatmu ...


PROMO - DIALOG :

“Danny, sekiranya kau lihat titisan air hujan jatuh menimpa bumi, itulah tangisanku dalam kerinduan buatmu. Dan aku takkan menyayangi orang lain sebagaimana aku pernah menyayangi diri kau, Danny ...” Daniela menatap wajah Danny Izrul buat kali yang terakhir lalu melangkah masuk tanpa menoleh ke arahnya lagi kerana Daniela takut hatinya akan goyah dengan keputusan yang telah digenggamnya sendiri.

Air mata Danny Izrul juga turut merembes keluar, tanpa di pinta secara tiba-tiba. Danny Izrul memanggil Zuhair sebelum jejaka itu mebuntuti Daniela.

“Zach ...”

Zuhair berpaling. “Ya Danny?”

“Kau jaga Diey baik-baik.”

Zuhair tersenyum. “Kau tahu aku akan buat begitu walaupun tanpa disuruh. Take care Danny.” Zuhair menepuk-nepuk bahu Danny Izrul lalu melangkah masuk.

Kesemua mereka di situ menghantar Daniela dan Zuhair hingga bayangan mereka hilang dari pandangan mata.

Damien


SINOPSIS :

Di manakah dapat dicari gadis seumpama Dalinda? Wujudkah gadis yang sama wajah dan tingkahnya? Kalau kembar, mungkin juga! Tetapi, bukankah di dunia ini ada tujuh manusia yang sama? Hmmm ... inilah kisahnya apabila Damien bertemu Bienda. Tetapi, pertemuan dengan Bienda bagaikan pertemuan anjing dan kucing ... sering mengundang pertengkaran. Apabila bersua wajah pasti dihujani dengan pergaduhan.

Di dalam ketidaksedaran itu ... Damien mendapati Bienda memenuhi ciri-ciri gadis idamannya ... dan yang paling penting gadis itu saling tak tumpah perangainya seperti Dalinda. Dapatkah pertengkaran demi pertengkaran itu diakhiri dengan kasih sayang? Adakah Bienda merupakan ratu di hati Damien? Dapatkah Bienda menempatkan dirinya di hati Damien sebagai permaisuri jiwa pemuda itu?


PROMO - DIALOG :

“Dammy! Apa ni? Mata kau buta ke tak nampak kaki aku ataupun sengaja kau buat begitu? Nak cari gaduh ke?” Lantang suara Bienda memarahi Damien.

Damien masih berlagak selamba. “Aku tak sengaja. Bukan salah aku. Mungkin kaki aku ni gatal nak pijak kaki kau. Mana aku tahu, kut-kutlah dia dah berkenan dengan kaki kau tu ... Biarlah mereka nak bercinta ...” Damien sinis menyindir

Mereka yang melihat kejadian itu dan mendengar kata-kata yang terkeluar dari mulut Damien terus ketawa. Kuat pula tu.

Tawa yang berderai membuatkan hati Bienda semakin panas. Bulat mata dia memandang Damien dengan alunan berombak kencang di dalam dada. Bienda menghentak-hentak kakinya seperti budak-budak

“Hoi Dammy ... kau ingat aku ni budak-budak ke hah! Cakap mengarut-ngarut. Kalau kaki aku ni pandai bercakap dan mempunyai perasaan dia tak kan pilih kaki kau yang pekung tu ...” Bienda semakin menyinga menahan marah dan malu diketawakan begitu. Hatinya betul-betul sakit kini.

“Amboi! Mana kau tahu kaki aku pekung ke tidak? Cuba cium tengok, baru kau tahu bertapa wanginya kaki aku.” Damien tidak kurang hebatnya.

“Kurang ajar! Kau nak suruh aku cium kaki kau? Kau ingat aku ni apa? Kucing kurap kau? Hoi! Kucing kurap pun tak lalu nak cium kaki kau tahu?” Bienda sudah pun melenting. Kata-kata Damien bagaikan panah yang menusuk di dalam tekak.

Apa Kata Hati


SINOPSIS :

Kisah cinta yang terjadi antara Dalinda, Damien dan Nirul Nizam tidaklah semudah yang disangka jalan penyelesaiannya. Antara Damien dan Nirul Nizam tak mahu mengalah dan masih memburu sekeping hati milik Dalinda. Lantaran itu Dalinda terkapai diambang kemelut. Tak berdaya menyingkirkan cinta abadi kedua-dua pemuda yang berebutkannya.

Mampukah Dalinda menyingkir salah seorang dari mereka? Siapa yang berjaya menawan hati Dalinda sehingga ke gerbang perkahwinan? Dan, apakah sebenarnya kata hati Dalinda ...


PROMO - DIALOG :

“Dell, bangunlah. Pergi solat. Busuklah kau ni ...”

“Apa busuk ... busuk ... Kaulah busuk. Aku masih mengantuk lagi. Sekali sekala tidur atas riba orang ni sedap juga. Bila lagi nak dapat tiur tilam yang empuk di tengah-tengah hutan belantara.” Usikan Dalinda semakin kukuh.

“Banyak cantik muka kau. Hoi, cik adik, yang kau tidur atas riba aku. Tak malu ke tidur atas riba lelaki?” Perbalahan pagi itu cukup menarik. Sudah lama mereka tidak bergurau seperti itu.

“Nak malu apa .... bukannya atas riba orang lain. Lagipun, gadis secantik aku kenalah kau layan sebaik yang mungkin.” Dalinda semakin naik tocang.

“Amboi ... sedapnya bercakap. Apa kau ingat kau tu betul-betul Puteri Gunung Ledang sampai aku kena sembah pada kau?”

“Haa ... tahu pun asal usul aku. Memang itulah sepatutnya kau buat. Tak kan tak faham-faham lagi?”

“Oii ... jangan buat lawak antarabangsa. Memandangkan peha aku dah pun terlalu sakit dak kebas ... so I have to leave you now!” Damien terus bangun daripada tempat yang menjadi pembaringan Dalinda.

Pipi Dalinda sakit terhentak pada batu. Bara di jiwa Dalinda terus mendidih. “Hoi! Tak reti nak bangun perlahan-lahan ke? Sakit pipi aku tau tak, dihentak macam tu. Bukannya di atas tilam empuk, di atas batu yang keras pulak tu. Kalau pipi aku bercalar dan saham aku menurun, kau kena bayar ganti rugi. No excuses!” Dalinda melaung apabila melihat Damien mula meninggalkan dirinya.

Damien ketawa kecil. “Lantak kaulah. Aku dah suruh kau bangun, kau tak nak kan. Itulah padahnya bagi seorang yang tersangat degil. Damien membalas laungan Dalinda. Tidak mahu mengalah.


Saturday, February 9, 2008

Dambaan Pilu


SINOPSIS :

Persahabatan akrab antara Dalinda dan Damien terjalin semenjak di tingkatan satu lagi. Namun, panas belum tentu ke petang. Kehadiran Erdiana merubah segalanya. Persahabatan yang erat menjadi renggang, lalu Dalinda membawa diri setelah menyedari cinta tulusnya terhadap Damien tidak berbalas.

Tetapi kisah mereka tidak berakhir di situ setelah bertemu semula di menara gading. Cinta yang hilang serinya dahulu berbunga kembali. Namun, pada ketika itu Dalinda sudah pun dimiliki Nirul Nizam. Sanggupkah Nirul Nizam mengorbankan cinta sejatinya untuk menyerahkan kembali Dalinda pada cinta pertamanya? Atau, Nirul Nizam cuba untuk mempertahankan cinta tulusnya itu? Siapakah pilihan Dalinda di antara mereka berdua? Siapakah yang berjaya memiliki cinta suci Dalinda?


PROMO - DIALOG :

“Dell, tak nak pergi ke kelas ke? Dah lambat ni ...” Naida Hazni yang sedang menaiki tangga melaung kuat.

“Naklah ... tengah tunggu lif.” Dalinda membalas.

“Tak payah tunggulah. Kalau tunggu sampai ke tualah kau tak ke kelas. Lif tu rosak. Apa lagi ... jomlah panjat tangga.” Keterangan Naida Hazni membuat mereka mengeluh panjang.

“Tak laratlah macam ni ...” Isma Shalinoor terus bersuara.

“Larat ke tak, korang kena panjat juga. Cepatlah!” Naida Hazni menggesa mereka bertiga.

Mereka membuntuti Naida Hazni yang sudah pun kepenatan Tengah mendaki tangga menuju ke tingkat tiga belas, entah daripada mana Si jejaka datang terus mengusik Si Dara.

“Lif rosak ke Dell? Kesian ... terpaksa mendaki ke level tiga belas.” Selamba Damien memasukkan jarum usikannya.

Dalinda menjeling. Dahlah kepenatan, dia pula cari pasal.

“Dah tak berdaya bersuara ... kan orang dah cakap, level lapan tu lagi selamat. Ni pun ada hal nak ke level sebelas.” Damien terus menebarkan usikannya setelah tidak mendapat respon daripada Dalinda. Dalinda sudah hangat hati dalam kepenatan yang melanda.

“Tolong diam sikit boleh tak? Bisinglah” Dalinda akhirnya bersuara dengan nada tinggi.

“Eh, kita punta mulut, kita punya sukalah ... Alhamdulillah sampai juga ke level sebelas. Orang tu kena menapak lagi dua level. Jangan sampai semput, dah laa. Bye Dell.” Damien melempar senyuman sinis.

Dalinda ingin meneruskan pendakiannya tapi langkahnya terpaksa diberhentikan kerana ada suara memanggil namanya.

“Dell!” Damien memanggilnya semula.

Dalinda berpaling, “Nak apa?”

“Amboi ... garangnya?”

“Malaslah nak layan kau.”

“Kejaplah ...” Damien menghampiri Dalinda.

Dalinda terus menanti butir bicara Damien. “Bye ...” Kemudian Damien melangkah pergi.

“What? Nak cakap tu je? Nak kena dah budak sekor ni. Sakitnya hati aku!” Dalinda semakin bengang lalu langkahnya diatur mencari Damien.

Setelah melihat kelibat Damien, Dalinda terus mempercepatkan langkahnya. Apabila dia sudah betul-betul sampai. Dalinda menepuk bahu Damien.

Damien berpaling lalu dengan pantas Dalinda menarik hidung Damien yang sememangnya menjadi kegemaran Dalinda sejak daripada dahulu lagi. Damien kaget.