Wednesday, November 12, 2008

Mahakarya Cinta


SINOPSIS:

Dia sering dihina kerana memiliki rupa paras yang tidak cantik. Dia sering dipersenda kerana memiliki kulit yang hitam. Namun, dia disayangi ramai kerana sikapnya yang mudah bergaul dan penyayang. Dia disenangi kerana prihatin dan suka mengambil berat akan perihal orang yang mendampinginya. Dialah Zanzilawati Izzrunnie.

Persahabatannya dengan Zuraizee bermula sejak daripada kecil lagi. Mereka membesar bersama-sama di rumah anak-anak yatim Musyawarah. Mereka bersekolah bersama-sama dan juga berkerja di bawah satu bumbung. Namun persahabatan yang telah dibina selama bertahun-tahun itu akhirnya dilanda badai dan ombak ganas hanya kerana kehadiran Wizana di antara Zuraizee dan dirinya. Pelbagai helah Wizana lakukan demi untuk memisah mereka berdua. Pelbagai kata dilemparkan hanya kerana Wizana mencemburui perhubungan kedua-duanya.

Mampukah Zuraizee mahupun Zanzilawati Izzrunnie mempertahankan hubungan mereka yang terjalin sejak bertahun-tahun dahulu? Tegakah Wizana memisahkan kedua-dua mereka? Berputikkah cinta di antara dua orang sahabat ini walaupun kedua-duanya menegaskan bahawa di antara mereka hanyalah mempunyai satu perhubungan iaitu perhubungan adik-beradik.

PrOmO DiAlOg:

“Saya pun akan rindu dengan...” John Norafizan sengaja meleretkan kata-katanya membuatkan hati Zanzilawati Izzrunnie sedikit tenang sebelum keberangkatan.

“Dengan apa?” Zanzilawati Izzrunnie menjegilkan matanya terus menusuk ke bebola mata John Norafizan.

“Pelukan Cik Zila,” sambung John Norafizan semula sambil tersengih.

Meledak ketawa kesemua mereka dalam suasana yang hiba.

“Sekali dalam seumur hidup dan awak takkan dapat lagi pelukan saya selepas ini dan mungkin untuk selama-lamanya tapi... tak aci kerana awak tak membalas pelukan saya. Tak dapat saya nak rasa bagaimana hangatnya pelukan awak.” Galak Zanzilawati Izzrunnie menyakat John Norafizan.

“Nak rasa? Meh saya peluk sekarang.” John Norafizan mula menghampiri Zanzilawati Izzrunnie untuk memeluknya.

Terkejut badak Zanzilawati Izzrunnie lalu dia menjerit kecil dan dia melompat ke belakang, menyembunyikan diri di belakang seseorang untuk menghindari daripada John Norafizan memeluknya. Lingkaran tangannya semakin erat di bahu orang itu.

“Argh! Jangan, JN. Urat akal terputus ke apa? Tolong.” Gelagat Zanzilawati Izzrunnie meledakkan semula ketawa mereka yang melihat insiden itu.

“Ha... tahu pun takut. Tadi nak sangat.” John Norafizan juga tidak kurang galak dengan usikannya. Padanlah dia dengan Zanzilawati Izzrunnie. Kaki pengusik.

“Mengada-ngada. Wek.” Zanzilawati Izzrunnie menjelirkan lidahnya walaupun pelukannya di bahu orang itu masih tidak terlerai.

“Cik Zila, lepaslah bahu saya. Takkan rindu lagi nak peluk?” Begitu dekat suara lelaki itu di pendengaran telinga Zanzilawati Izzrunnie. Pucat wajah Zanzilawati Izzrunnie seketika. Kalau ditoreh dengan pisau pun pasti tidak berdarah.

“Ha... siapa yang aku peluk ni? Maira...” Zanzilawati Izzrunnie memanggil nama Nurhumaira yang juga turut menghantarnya di KLIA pada pagi itu. Tangannya beralih daripada terus memeluk erat tubuh jejaka itu lalu menyebamkan wajahnya ke bahu Nurhumaira.

Entah ke berapa kali ketawa mereka meletus melihat insiden-insiden lucu yang terjadi secara spontan.

“Salah kau juga... pakat rembat saja bahu sesiapa pun tanpa melihat siapa dia yang kau peluk.” Nurhumaira menyedekahkan kata-katanya sambil menyengih.

Kelat wajah Zanzilawati Izzrunnie ketika itu. “Apa tengok-tengok, Hazeef? Seronoklah tu.” Keras suaranya.

Hazril Hazeef melebarkan sengihannya seperti tidak cukup ruang.

“Takkanlah tak seronok dapat pelukan percuma kali kedua? Orang lain sekali tapi saya dua kali. Bangganya... kalau kali ketiga, confirm saya masuk meminang Cik Zila.” Hazril Hazeef tersengih nakal.

“Oi... lebihlah tu. Cikadak betul. Ada hati tu.... kelapa santan.” Terkeluar ayat itu tanpa sedar.

“Bahasa apa tu, Cik Zila? Kasih sayang ke?” Hazril Hazeef masih tidak mahu keluar dari kurungan gurauan.

“Banyaklah kau punya kasih sayang,” balas Zanzilawati Izzrunnie selamba.

Sekali lagi dan lagi ketawa mereka pecah.

Muammar dan Zuraizee hanya menggeleng kepala melihat tingkah Zanzilawati Izzrunnie yang cukup menghiburkan hati.




4 comments:

John Norafizan said...

tak penah pulak saya peluk anak dara orang... ehehehe

Ebriza Aminnudin said...

hehehe ... itu dalam citer ni je JN, Pinjam nama bukan karektor ... memang berbeza dengan awk. jangan marah or ambik hati ... sekadar hiburan dalam MAHAKARYA CINTA.

luzrafikr said...

tak sangka ada nama betul saya dalam novel... hehe

mana dapat idea nama karakter tu?

Ebriza Aminnudin said...

luzrafikr,
Ye ke? nama betul awak? karakter yang mana satu? Hehehe. Karakter saya di dalam setiap novel memang tercipta begitu. :)