Tuesday, March 31, 2009

Jangan Kau Tangisi




SiNoPsIs:

“Pengorbanan kecil Effa cakap? Ia berkait rapat dengan hidup Mizal, jadi ini bukanlah pengorbanan kecil tapi ia merupakan pengorbanan yang terlalu besar. Mizal tak sanggup mempertaruhkan hidup Mizal di tangan Azini. Kenapa Effa menuntut pengorbanan yang bukan-bukan dari Mizal?” – Zahamizal.

“Maafkan abang, Effa kerana telah mengkhianati kepercayaan yang luhur itu. Memang abang bersalah kerana telah melakukan sesuatu yang diharamkan oleh Allah.” – Huzaifah

“Effa, awak telah memberikan ujian yang begitu hebat pada saya. Saya akan terima cabaran awak jika itulah satu-satunya cara yang boleh mengembalikan kepercayaan awak pada saya.” – Fizran

“Apa masalah you yang rumit tu Hezzy? Terangkanlah I sanggup menghadapi segala kemungkinan bersama dengan you asalkan you tak singkirkan I dari sisi you mahupun dari hidup you.” – Umran Zahini

‘Ingin sekali aku ucapkan selamat tinggal pada dunia penderitaan dan kesengsaraan yang telah lama menghuni dalam diri ku ini’ – Haifa Hezzy
........................................................................................................................

Jangan Kau Tangisi merupakan kisah pengorbanan seorang insan terhadap insan-insan yang disayanginya. Perngorbanan yang begitu besar dalam memenuhi setiap permintaan walaupun melukakan hati sendiri demi kebahagiaan insan-insan di sisinya yang amat disayanginya. Tanpa ketabahan dan kesabaran yang begitu tinggi, kita mampu terkeluar daripada landasan kehidupan yang sebenar. Namun, ia juga sebahagian ujian daripada Allah SWT untuk melihat sejauh mana kita tabah dan sabar dalam menempuhi apa yang telah diagendakan untuk kita. – Ebriza Aminnudin.



PrOmO ScEnE:

ZAHAMIZAL :

“HAIFA HEZZY!!!” Sebaris nama dilaung kuat menyebabkan ketiga-tiga gadis itu berpandangan sesama sendiri. Kemudian pandangan mereka beralih pula kepada empunya diri yang melaung nama kepada empunya badan. Kelihatan Zahamizal berlari-lari mendapatkan mereka dengan sejambak bunga teddy bear yang diselang seli dengan bunga gardenia hidup yang berada di dalam tangannya. Haifa Hezzy yang melihat mendengus geram.

‘Hesy, dah gila ke mamat ni menjerit-jerit nama aku di tengah-tengah jalan? Ingat ini filem hindustan ke apa? Tak habis-habis dengan perangai sewelnya. Hari tu suit-suit dalam dewan kuliah, ni terjerit-jerit pula di tengah jalan. Zahamizal ni selalu memalukan aku.’ Haifa Hezzy menggerutu hebat di dalam hati. Pandangan Haifa Hezzy dialihkan pula kepada kedua orang sahabatnya yang kaku dengan sandiwara yang dimainkan oleh Zahamizal. Pandangan mereka juga bertaut dengan Haifa Hezzy ketika gadis itu mengadap mereka. Wajah Haifa Hezzy mencuka. Tiada lagi terpalit senyuman yang manis. Gerun juga mereka melihat wajah yang ditonjolkan ketika ini.


HUZAIFAH :

“Abang!” Huzaifah segera memaling kepada yang memanggil dan dia agak terperanjat dengan kehadiran gadis itu. Dia menutup badannya yang tidak berbaju cuma bertuala sahaja. Maklumlah lelaki itu baru sahaja selesai mandi sebab itulah dia dalam keadaan yang tidak sepatutnya ditonton oleh Haifa Hezzy. Hati Haifa Hezzy sedikit tercuit dengan gelagat Huzaifah lalu menguntum senyuman di bibirnya. Matanya galak memandang Huzaifah yang kelihatan malu-malu. Hati Haifa Hezzy semakin digeletek lucu namun dicuba dengan sedaya upaya untuk menahan daripada terburai ketawanya.

“Effa?!! Macam mana boleh ada kat sini? Masuk dari mana?” Huzaifah kelihatan menggelabah ketika mula bersuara dengan tunangnya.

“Effa masuk dari pintu bang. Mak Aci Yang yang benarkan Effa jumpa abang di bilik. Maafkan Effa kerana datang secara mengejut. Tapi ada sesuatu yang perlu diselesaikan antara kita.” Haifa Hezzy bergurau spontan lalu mengulum senyuman lagi. Seketika kemudian, dia kembali serius semula. Huzaifah juga mengulum senyuman yang tidak menjadi menandakan dirinya sudah terkena dengan Haifa Hezzy.

“Nak bincang apa lagi Effa? Kita akan bernikah dalam beberapa hari lagi dan Effa tak sepatutnya datang ke bilik abang di waktu pernikahan kita yang semakin hampir ataupun Effa dah tak boleh tahan lagi?” Huzaifah bergurau nakal membuatkan Haifa Hezzy tidak gemar dengan gurauan seumpama itu, namun disabarkan hatinya dan kekal dalam situasi tenang.


FIZRAN:

“Okeylah, okeylah ... Sebab Haiza tau Kak Effa sanggup lalu di depan rumah zoo negara tu. Kalau tak kerana Haiza, jangan haraplah!” Persetujuan daripada Haifa Hezzy amat menggembirakan Yuliar, dia amat berharap akan bertembung dengan Fizran. Manakala Haifa Hezzy pula sebaliknya berdoa di dalam hati agar tidak bertembung dengan Fizran.

‘Ya Allah, ya tuhan ku ... Janganlah jumpa dengan si labu tu.’ Haifa Hezzy terus berdoa sambil berjalan. Ketika ketiga mereka melintasi sahaja di hadapan rumah bujang itu, pelbagai suara yang dapat di dengar dari dalam rumah. Pelbagai bunyi yang dibuat sehingga membingitkan telinga Haifa Hezzy.

“Tu lah kau Yul. Kak Effa dah cakap jangan lalu sini tapi kau degil nak lalu juga. Tengok tu, pelbagai peliharaan zoo negara dapat di dengar. Sakit tau telinga ni.” Haifa Hezzy mengomel tetapi Yuliar hanya memekakkan sahaja telinganya sambil mencuri pandang ke arah rumah bujang itu seraya menghadiahkan sekuntum senyuman. Fizran yang baru pulang dari kerja sedang berehat di ruang tamu, begitu teruja dengan suara-suara yang dikeluarkan oleh rakan-rakannya lalu terus menjengah wajahnya ke luar pintu pagar. Hatinya begitu gembira melihat Haifa Hezzy yang berada di situ bersama Yuliar lalu Haifa Hezzy segera ditegurnya akibat terlalu rindu dengan gadis yang sering mengelak diri daripadanya. Fizran sendiri tidak tahu bagaimana Haifa Hezzy dapat menyembunyikan diri daripadanya sejak peristiwa di stesyen bas tempohari.

“Hai Temah, jogging ke?” Fizran menyedekahkan sekuntum senyuman yang teramat manis. Kaki Haifa Hezzy terhenti secara automatik apabila terdengar nama itu dilaungkan oleh Fizran dan kini Haifa Hezzy memandang Yuliar dan Haizana Hanny yang sudah pun menghamburkan ketawa yang kuat. Haifa Hezzy mengecilkan matanya lalu pandangan dibuang kepada Fizran pula. Sakit hatinya bila dilaung dengan nama itu.


UMRAN ZAHINI:

“I juga berharap begitu Han dan I selesa bertemu dengan papa you. Beberapa minggu kita baru balik, I dah mula rindu dengan papa you, hasienda you, tita, tiyo dan juga Maria.” Jujur Haifa Hezzy meluahkan rasa hatinya.

“Maria juga rindukan you. Setiap hari sms I suruh kirim salam pada you. Malah semua yang ada di sana rindukan you. Babe, you rindu kat I tak?” Umran Zahini sudah mula mengungkapkan madah dari taman jiwanya.

“Hindi ko alam.” Haifa Hezzy membalas dalam bahasa Tagalog yang bermaksud ‘aku tidak tahu’ membuatkan Umran Zahini sedikit merajuk.

“O, talaga (Oh, ye ke)?. Yelah, siapalah kita ni untuk dirindui, kan?” Wajah merajuk Umran Zahini menjengkelkan Haifa Hezzy.

“Hesy, mengada-ngada pula! Bila you rancang nak bawa I jumpa inay you?” Haifa Hezzy menukar tajuk perbualan kerana dia begitu malu berbicara soal hati walaupun dengan orang yang dia sayang.

“Kalau tak ada aral, akhir bulan depan Insya-Allah.” Haifa Hezzy cuma mengangguk menyetujui dengan rancangan yang telah diaturkan oleh Umran Zahini. Walaupun dia gembira tetapi dia tidak tahu kenapa hatinya berdebar semacam untuk diperkenalkan kepada emak jejaka itu.

“Han, you tak mengantukkah? I dah tak larat nak angkat mata lagi ni.” Haifa Hezzy sudah tidak tahan mengantuk dan jikalau boleh dia hendak masuk tidur dengan segera.

“Mata I tak rasa mengantuk jika dapat menatap wajah you. You ni cantik tau Babe walaupun tanpa secalit make-up. I suka tengok you in natural beauty.” Balas Umran Zahini memuji kecantikkan kekasih hatinya membuatkan Haifa Hezzy berada di awangan seketika.

“Dahlah tu. Kembang I nanti, habis struktur badan I yang separuh langsing ni. I betul-betul mengantuk ni Han, you janganlah dera I.” Haifa Hezzy masih boleh bergurau walaupun dalam keadaan terlalu mengantuk ketika itu. Kasihan pula Umran Zahini melihatnya memaksa mata untuk dibuka lalu Umran Zahini akhirnya bersedia untuk pulang.

“Yelah... Yelah Babe. I pun nak balik ni. Miss kita (aku merinduimu).” Umran Zahini masih hendak dengar ungkapan cinta daripada bibir Haifa Hezzy walaupun dia tahu dia tidak akan dapat kerana Haifa Hezzy begitu malu untuk berbuat demikian.

“Aalis ka na!” Haifa Hezzy membalas dalam bahasa Tagalog juga yang bermaksud ‘pergilah’.

“Sige, diyan ka na (Okey, jumpa lagi, bye).” Balas Umran Zahini pula.

Haifa Hezzy mula memusing badannya untuk naik ke bilik namun sebelum Haifa Hezzy meneruskan langkah, Umran Zahini kembali memanggilnya. Haifa Hezzy tidak sedar batang tubuh Umran Zahini sudahpun berada di sisinya ketika nama wanita itu dipanggil.

“Hezzy...” Dengan malas Haifa Hezzy berpaling.

Kemudian dengan sepantas kilat tanpa sempat sebarang ayat keluar daripada bibir Haifa Hezzy, satu ciuman kasih hinggap di pipi wanita itu. Haifa Hezzy terperanjat. Matanya kembali terbuka luas namun belum sempat dia memarahi Umran Zahini, jejaka itu sudah pun melarikan diri. Dia geram dengan tindakan drastik jejaka itu, namun jauh dari dasar sudut hatinya dia berasa gembira dengan hadiah yang menjadi miliknya. Haifa Hezzy kembali memegang pipinya dengan sekuntum senyuman.

2 comments:

CoretanKuAzie said...

cerita yg begitu sedeh...yang membuatkan airmata mengalir.....

EBRIZA AMINNUDIN said...

Segalanya D'sini - terima kasih kerana meminati Jangan Kau Tangisi