Sunday, February 10, 2008

Hanya Dikau


SINOPSIS :

Peristiwa pahit yang berlaku pada hari pernikahan membuatkan Ira Fashua, wanita yang telah berumur tidak lagi mempercayai lelaki mahupun cinta yang datang bertandang. Dia sanggup hidup sendiri selagi kesangsiannya terhadap lelaki masih melekat kukuh di hati dan jiwanya.Hakikatnya, Ira Fashua seperti wanita lain yang ingin dicintai, dikasihi dan dibelai namun setiap kali dia ingin menyambut salam pecintaan, dia terpaksa menolak setelah bayangan silam datang menerjah di layar matanya.Namun, pertemuan Ira Fashua dengan Erze Zullis telah merubah corak kehidupannya yang lama. Pertemuan yang tidak disengajakan dengan Erze Zullis ketika menyambut kepulangan sepupu Ira Fashua, Nuradriana Hany di lapangan terbang telah mencetus pertengkaran antara mereka. Pantang bertemu pasti percaturan kata akan terhasil.Kebencian sesama sendiri menular di hati masing-masing sehinggalah pada suatu hari Erze Zullis menyedari bahawa dia mencintai Ira Fashua dalam diam walaupun wanita itu lebih tua daripadanya. Namun begitu, kehadiran Xu Da Feng, usahawan berbangsa Cina-Korea kembali menyuntik rasa cinta di hati Ira Fashua untuk menerima kehadiran lelaki di dalam hidupnya semula.Dapatkah Erze Zullis menagih cintanya dari Ira Fashua dan mengeluarkan Ira Fashua dari dunia kesangsiannya terhadap lelaki? Siapakah lelaki yang telah berjaya mencuri hati Ira Fashua? Erze Zullis atau Xu Da Feng?


PROMO DIALOG :

“Banyaknya minyak, makcik ... Eee, boleh kau tahan dengan minyak-minyak ni? Tak bau busuk ke? Yaakkhh!” Ira Fashua terus mengusik Nuradriana Hany dengan menutup hidungnya seolah-olah bau minyak itu terlalu busuk.

“Apa busuk-busuk ni? Aku tak bau apa-apa pun. Kau jangan nak lebih-lebih!” Nuradriana Hany melenting geram kerana dia sudah tidak tahan diusik oleh Ira Fashua sepanjang sesi mengurut.

“Mana ada aku lebih-lebih. Memang busuk baunya. Eee ...” Ira Fashua menutup hidungnya menambahkan lagi kesakitan di hati Nuradriana Hany.

“Makcik tengoklah ... Dia saja nak sakitkan hati saya. Minyak ni tak bau busuk kan?” Nuradriana Hany mengadu kepada mak andam setelah tidak dapat mematahkan kata-kata Ira Fashua.

“Eleh ... macam tu pun nak mengadu pada mak andam. Tapi, selamatlah ... pengapit pengantin tak payah nak sapu dengan minyak-minyak busuk ni. Fuh! Leganya ...” Ira Fashua mengipas-ngipas dirinya dengan tangan menunjukkan reaksi lega.

“Makcik ...” Nuradriana Hany masih lagi mengadu meminta mak andam itu menyebelahi dirinya.

“Korang berdua ni ... perangai tak ubah macam budak-budak. Dah nak kahwin, buatlah cara nak kahwin.” Bukan hendak menyebelahi sesiapa, malah kata-kata amarah pula yang dikeluarkan oleh mak andam kepada kedua-duanya.

“Entah dia ni ... dah nak kahwin, buatlah cara nak kahwin jangan buat perangai macam budak-budak!” Ira Fashua mengambil kata-kata mak andam sebagai bahan usikan untuk Nuradriana Hany. Nuradriana Hany semakin geram dengan setiap usikan Ira Fashua.

“Kaulah yang mula dulu sampai aku berperangai macam ni!” Nuradriana Hany mula membuka taringnya.

“Eh, jangan nak salahkan aku pula. Aku tak ada kena-mengena dalam kes kau!” Ira Fashua menafi sekeras-kerasnya Nuradriana Hany berperangai sedemikian berpunca daripadanya.

“Sudahlah tu, korang berdua ni! Korang ni suka makan cenonggeng ayam, ye? Patutlah mulut sorang-sorang bising sangat.” Mak andam terpaksa mencelah untuk memberhentikan tembakan kata yang sedang berpadu itu bak peluru berpandu.

“Kegemaran dialah cenonggeng ayam tu, makcik ... patutlah mulut tak reti nak duduk diam!” Pantas sahaja Ira Fashua menembak kata setelah mak andam itu menutur ayat yang terakhir.

“Bila masa pula aku suka makan cenonggeng ayam? Bukan kegemaran kaukah cenonggeng ayam tu?” Nuradriana Hany juga tidak mahu mengalah dalam medan bicara ini. Mak andam yang tidak tahan dengan petelingkahan kedua-dua mereka, terus menamatkannya dengan satu cara.

“Sudah! Jangan nak bertekak kat sini. Pening kepala aku dengar. Kau ke sini. Kau bising sangat dari tadi, kan ...” Mak andam menarik lengan Ira Fashua lalu ditanggalkan satu-persatu pakaian wanita itu sebelum kain batik disarungkan ke tubuh. Terpinga-pinga Ira Fashua seketika dengan perlakuan mak andam. Namun, dia tidak menolak malah seperti orang dipukau hanya menurut sahaja dengan setiap kehendak mak andam itu.

Seketika kemudian, habis seluruh badan Ira Fashua dikerjakan oleh mak andam itu dengan melumurkan minyak sama seperti Nuradriana Hany. Ira Fashua terus-menerus menguncikan bicaranya kerana masih terkejut apabila badannya telah pun berlumuran dengan minyak yang dikatakan busuk sebentar tadi. Apa yang berlaku kini mengundang ketawa Nuradriana Hany. Terkekeh-kekeh Nuradriana Hany gelakkan Ira Fashua. Besar pulak tu. Sesiapa yang mendengar, pasti akan terundang amarahnya.

“Hahaha ... padan dengan muka kau! Kata kat aku lagi ... sekarang, kau pun kena rasa apa yang aku rasa.” Ujar Nuradriana Hany dalam sisa ketawa yang masih melekat di rongga tekaknya. Mencuka masam wajah Ira Fashua apabila terkena dengan bahang usikan Nuradriana Hany. Hendak melarikan diri juga tidak sempat kerana mak andam itu sedang rancak mengurutnya. Sesekali, terasa sedap pula apabila menerima urutan seperti itu.

“Diamlah kau! Ini semua gara-gara kaulah, aku pulak yang kena urut! Mana ada pengapit pengantin turut diurut ... tapi dalam majlis kau ni sempoi sikit, pengapit pun kena jugak. Tak guna betul!” Lenting Ira Fashua tetapi disambut dengan ketawa besar Nuradriana Hany dan mak andam.

“Baguslah, sekurang-kurangnya aura pengantin aku turut dapat dekat kau sikit. Makcik, tolong baca sekali ayat-ayat mempercepatkan jodoh. Kalau ada ayat tolak bala, lagi bagus!” Giliran Nuradriana Hany pula membuka gelanggang usikan buat Ira Fashua setelah pintu gelanggang itu telahpun ditutup sebentar tadi.

“Hoi! Hantu raya punya budak! Apa ayat tolak bala pulak ... aku tak bawa balalah tapi bawa tuah, tau. Kau jangan nak lebih-lebih, aku simbah dengan minyak ni baru tahu. Jodoh aku lambat sikit aje, bukannya banyak ...” Ira Fashua terus melenting geram.

Hati Ini Milik Siapa


SINOPSIS :

Cinta pertamanya bersama Hezriq yang kecundang menjadikan Ezmira seorang perlarian. Dia membina hidup baru di tanah kelahirannya, Pulau Pinang dan menjadi seorang prejudis terhadap cinta. Setelah berjaya melupakan kenangan pahit itu, dia terpaksa kembali ke kota yang menyimpan seribu satu kenangan kerana dinaikkan pangkat.

Bekerja dengan Jimmy Shanley telah membibitkan semula rasa cinta di dalam hatinya. Dan ternyata dia tidak bertepuk sebelah tangan. Danish, sepupu kepada Hezriq yang mengharap cintanya membuatkan dirinya serba salah.

Perkara yang ditakuti akhirnya muncul apabila Hezriq ingin kembali kepada dirinya dan ingin menjadikannya sebagai isteri kedua. Mampukah dia melukai hati isteri Hezriq? Siapakah akhirnya yang berjaya memiliki sekeping hati milik Ezmira?


PROMO - DIALOG :


“Ye. Dah lama Mira tak tengok bintang-bintang secantik ni. Macam pasangan kekasih pula saya lihat kita ni yang bersantai di bawah sinaran cahaya purnama.” Aku tergelak sendiri dengan ayat yang telah aku tuturkan. Itulah aku yang sekejap membahasakan diri aku kepada Jimmy Shanley ‘saya’ dan sekejap ‘Mira’. Aku tidak tetap dengan panggilan diri sendiri ketika berbicara dengan Jimmy Shanley. Tidak seperti Danish, yang telah kutetapkan panggilan diri ini kepada ‘Mira’ setiap kali berbual dengannya. Jimmy Shanley kulihat menguntum senyuman untuk kesekian kalinya.

“Kalau benar pun, apa salahnya?” Jimmy Shanley melirik manja ke arahku. Aku mula berasa tidak enak, lalu segera aku menolak kemungkinan pada kata-katanya.

“Aaa ... Encik Jimmy, jangan lebih-lebih. Tak larat tau saya nak pesan berulang kali yang kita ni kawan mesra saja. Kan?” Aku menekan suara. Jimmy Shanley menguntum senyumnya lagi.

“Saya faham. Awak tahu Mira, saya dah lama tak berdua-duaan dengan wanita sebegini setelah hati saya dilukai dengan begitu teruk. Pengalaman cinta yang lalu membuatkan saya tidak mempercayai pada mana-mana wanita lagi tetapi kehadiran awak telah mengubah persepsi yang saya pegang selama ini. Terima kasih, Mira ... kerana telah mengubah pandangan saya terhadap wanita selama ini. Tidak rugi saya mengenali diri awak. Ternyata, awak berbeza daripada wanita-wanita yang pernah saya jumpa dan dampingi.” Jimmy Shanley menyatakan sesuatu yang tidak pernah dinyatakannya sebelum ini. Aku sedikit terharu dengan penghargaan yang diberikannya buatku.

Apa hendak buat Jimmy Shanley, nasib kita serupa. Aku juga tidak percayakan kepada mana-mana lelaki setelah hati aku dirobek dengan nanah kecewa yang teramat mendalam sehingga bisanya masih lagi aku terasa sampai kini. Sebab itulah juga susah untuk aku jatuh cinta walaupun lelaki itu setampan dan sebaik kau. Maafkan aku Jimmy Shanley kerana tidak dapat mendalamkan lagi hubungan kita. Sekiranya kepercayaan itu muncul semula dalam diri aku, mungkin kau yang akan menjadi pilihan hati ini.

“Hati yang terluka, Encik Jimmy ... memang payah untuk diubati, apatah lagi hendak membina kepercayaan pada cinta itu semula. Sebab itu saya lebih senang berkawan daripada berkasih kerana hati saya telah mati untuk membina cinta semula.” Aku mengambil posisi yang sama dengan Jimmy Shanley dalam meluahkan perasaan hati yang terpendam selama ini.

“Jangan matikan terus perasaan cinta itu, Mira ... kerana masih ada yang ikhlas menyayangi diri awak. Hanya mereka yang terluka sahaja dapat memahami di antara satu sama lain jika cinta itu wujud kembali. Awak boleh melupakannya untuk seketika tetapi jangan terus membunuhnya. Cuba untuk buka ruangan itu semula agar insan lain boleh bertakhta dan menabur kasih sejati kali ini ke dalam ladang kontang awak. Jom, Mira ... kita balik. Dah lewat benar ni.” Jimmy Shanley terus memimpin tangan aku untuk turun ke bawah.

Aku tersentuh dengan ungkapan yang diluahkan oleh Jimmy Shanley. Memang benar apa yang dikatakannya, namun hati aku masih belum boleh menerima mana-mana kehadiran lelaki lagi buat masa sekarang. Insya-Allah, mungkin suatu hari nanti ... pintu hati aku akan terbuka semula untuk insan yang bernama lelaki.

Kau Yang Tak Mengerti


SINOPSIS :

Aku pernah bertanya kepada diriku sendiri, mengapa tidak ku putuskan sahaja perhubungan yang sia-sia dan menyakitkan ini. Namun aku enggan memikirkan kesudahannya walau jauh di lubuk hatiku telah tersedia jawapannya. Aku pasrah dalam menghadapi segalanya walau bukan ini jalan yang ku pilih ... ia sudah ditakdirkan. Dalam sedar aku cuba menyirat luka-luka di hati yang aku sendiri sedar sinar bahagia bersamanya kian malap. Apa lagi tinggal untukku di bumi yang serba asing ini selain dia yang ku harapkan menjadi pelindungku biarpun hatiku tidak pernah mengakui bahawa aku akan selamat di dalam dakapannya yang kian jauh dan jauh ...

PROMO - DIALOG :

“Kau ingin berasamara dengan aku, kan? Aku akan berikan. Sudah lama kau tunggu, bukan? Kau tetap akan dapat dan aku tak kan rugi apa-apa.” Afroz Mazher terus mencemari wajah Eleanur Aqilla dengan setiap ciumannya. Eleanur Aqilla mula meronta ketika bibir Afroz Mazher mencecah ke pangkal leher dan mula menuruni ke dadanya.

“Apa ni, tuan? Saya tak minta untuk berasmara dengan tuan. Lepaskan saya! Ami tuan yang lebih-lebih, apa lagi yang mampu saya katakan untuk menutup hakikat yang sebenarnya. Tolong jangan perlakukan saya sebegini, tuan!” Semakin kuat Eleanur Aqilla meronta, semakin kuat nafsu rakus Afroz Mazher memuncak. Air mata Eleanur Aqilla juga sudah pun merembes dengan lajunya ketika tubuhnya separuh terdedah.

“Engkau yang buat aku tidak tahan. Sekarang, aku akan selesaikan apa yang telah aku mula. Jangan bimbang sayang, aku akan berikan sepenuh kepuasan pada kau sehingga kau tak terfikir untuk menikmatinya dengan lelaki lain.” Senyuman yang terukir di bibir Afroz Mazher begitu menjengkelkan Eleanur Aqilla. Buat seketika, Eleanur Aqilla terfikir dirinya bagaikan seorang pelacur disaat itu. Dia tidak ingin berasmara dengan tubuhnya yang dijamah sebegitu rupa.

“Aku tidak ingin kepuasan yang kau tawarkan. Lepaskan aku! Tolong jangan jadikan aku sebagai pelacur. Lagipun, kau telah janji tak akan menyentuh tubuhku. Kenapa dulu kau boleh tahan nafsu kau ... tetapi tidak lagi sekarang? Aku tidak ingin menjadi milik kau sebegini rupa, sedangkan di hati kau tidak pernah mengiktirafkan aku sebagai isteri, walaupun hubungan kita sememangnya halal di sisi agama. Aku hanya rela menjadi milik kau setelah kau rela menerima kehadiran aku sepenuhnya. Kenapa lelaki hanya pandai menabur janji tetapi tidak pandai mengotakannya?” Raungan Eleanur Aqilla yang semakin kuat membuatkan nafsu berahi Afroz Mazher ...

Dialah Di Hati


SINOPSIS :

Kerana pernah dikecewakan Ash’rizal, cinta pertamanya, Rina Erviana nekad menutup hatinya pada lelaki. Pertemuan di satu ekspedisi membibitkan cinta di hati Yafiz, namun keegoan Rina mengatasi segalanya. Bagaimanapun, Yafiz tidak jemu-jemu memburu cintanya dan Rina Erviana akhirnya nekad menyerahkan cintanya.

Di saat cinta sedang mekar, Yafiz merantau ke luar negara demi membuktikan sesuatu kepada keluarganya dan Rina Erviana terikat pada janjinya pada hatinya sendiri. Muncul Datuk Zeffri namun ditolak mentah, begitu juga Ash’rizal yang ingin merebut hatinya kembali.

Kehadiran Izzudin membuatkan hatinya terusik namun dia terpaksa melupakan hati pemuda tersebut demi janjinya. Bagaimanapun kehadiran Tengku Irfan benar-benar mengingatkannya pada Yafiz. Mampukah Rina Erviana mempertahankan kesetiaannya atau perlukah dia mengorbankan sekeping hati lelaki yang benar-benar menyintainya?


PROMO - DIALOG :

“Orang cakap hanya ada dua cara sahaja untuk membuat seorang gadis tu diam. Yang pertama kerat lidahnya. Oleh kerana awak ni gadis yang boleh dikatakan cantik di mata saya maka saya tak sanggup untuk berbuat demikian.”

“Kedua?” Wah! Semakin berani aku. Kononnyalah. Sebenarnya aku berlagak begitu untuk menutup gentar yang melanda di hati.

“Kedua dengan cara mencium untuk membolehkan awak diam.” Terperanjat aku mendengar caranya yang kedua untuk membuat aku diam. Otak aku ligat memikirkan untuk tidak membenarkan dia mengota apa yang dikata.

“Eh, kita ni orang Islam. Mana boleh cium-cium tanpa ikatan yang sah? Awak ni tak belajar agama ka?” Ku kira ayat itu sudah cukup untuk mempertahankan maruah yang menjadi benteng diri aku.

“Saya pun belajar agama dan saya tahu yang mana haram dan yang mana halal. Tapi oleh kerana cara pertama terlalu kejam maka saya akan mengambil cara yang kedua kerana ia lebih lembut dari cara yang pertama kan?” Yafiz tersenyum sinis sambil mendekatkan mukanya dengan mukaku. Wah! Dia betul-betul ingin melakukannya. Aku semakin gelabah dan dengan pantas aku menekup mulut.. Tidak rela rasanya diri dicium oleh pemuda itu. Mana boleh mencemarkan bibirku secara percuma sebegitu. Lainlah kalau benar dia suamiku, akan aku serahkan segalanya pada diri dia.

“Ooo... tahu pun tutup mulut. Jadi, awak akan diam?”

Aku pantas mengangguk tanda bersetuju. Kemudian, aku mengangkat jari telunjuk dan jari hantu sementara jari yang lain ku genggam erat tanda berdamai. Yafiz tersenyum puas setelah dapat mengurangkan kemuraian aku tanpa kenal erti penat.

Aku Cinta Kamu


SINOPSIS

Bukan setahun dua aku simpan rasa tersinggungku ini padamu. Bertahun lamanya aku biarkan ia begitu … terus kekal begitu. Sehinggalag bila kita ditemukan semula, kau dan aku rupa-rupanya telah jauh berbeza. Masa dan keadan mengajar aku menjadi manusia yang cepat pandai. Namun tidak cepat untuk melupakan ... dan sesekali tidak akan melupakan

Ezzy ... andai rupa paras menjadi taruhan ... Sya rela meletakkan diri ini sebagai taruhanmu. Sya akan lakukan ia demi senuah dendam. Dan itulah Sya tidak mampu lakukan sejak dahulu lagi ... ingin melihat kau tersungkur di hujung kaki seorang perempuan yang hatinya telah ‘mati’ kerana dicuri. Lalu aku pun main ‘sembunyi-sembunyi’ untuk mengaburkan mata dan hatimu. Dan kau tidak pernah mengesyaki kewujudanku di tengah-tengah gelanggang permainanmu. Sedang aku saban waktu tersenyum menang pada setiap permainan yang engkau ciptakan. Kemenangan yang aku raikan bersama teman-teman. Kemenangan yang seringnya menerbitkan rasa rindu dan kasihku padamu. Kerana hatiku sebenarnya telah lama tewas pada setiap permainan ciptaanmu.


PROMO - DIALOG :

“Hai Ezral, pagi-pagi lagi menapak kat sini. Cari siapa?” lantang Azlin bersuara apabila melihat kelibat Ezral menapak ditempat Marsya Qistina.

“Cari siapa lagi kalau bukan Qisteen. Tak gitu Ezral?” Katrina meyampuk.

“Kalau dah tahu buat apa tanya lagi. Bagi tau cepat ke mana pula dia pergi kali ni? Apa pula alasan korang. Susah betul kalau aku yang datang berjumpa dengan dia. Haa... cakap...cakap... Jangan tak cakap!” Ezral menempelak dengan satu senyuman sinis terkena tepat pada keempat-empat gadis itu.

Marsya Qistina yang masih lagi berada di bawah meja menahan ketawa agar tidak terburai.

‘Kurang asam punya Ezral. Qisteen punya pasal habis kami pula yang terkena,’ desis hati keempat-empat gadis itu yang hampir sama ayatnya.

“Hoi, apa kau ingat kami ni kembar siam Qisteen ke? Nak ambil tahu hal dia, ke mana dia pergi, dengan siapa dia pergi... sorrylah beb! Tak ada masanya nak jaga tepi kain dia.,” Azlin yang panas telinga membalas, tempelakan Ezral mewakili rakan-rakan yang lain.

“Manalah nak tahu korang selalu bersepakat dengan dia...” Ezral juga tidak mahu mengalah.

“Gara-gara kaulah kami terpaksa bersepakat,” Azlin terlepas kata. Balasannya katanya pada Ezral menerima jelingan yang amat tajam rakan-rakan yang lain. Dia hampir saja hendak membongkarkan segala rancangan Marsya Qistina yang telah diatur sejak beberapa tahun yang sudah. Azlin terdiam setelah mulut murainya tidak dapat menampung kata.

‘Tak guna punya Azlin. Kau hampir membongkar rancangan aku. Nasib baik kau cepat tersedar. Kalau tidak, aku tak kan maafkan kau. Siaplah kau lepas Ezral blah nanti,’ getus hati Marsya Qistina yang turut mendengar perbualan itu.

“Kenapa kerana aku pula? Apa yang telah aku buat padanya? Jumpa dia pun belum lagi tahu. Pandai-pandai je nak menuduh aku,” Ezral masih ingin lagi mengajak Azlin di medan perbalahan kata. Katrina terus bersuara kerana tidak mahu Azlin terlepas kata lagi.

“Maaflah Ezral kalau Qisteen yang kau cari, kali ini kami betul-betul tidak tahu ke mana dia pergi. Selalunya dia cakap ke mana dia pergi dan di mana dia berada even di tandas. Tapi hari ni tiba-tiba dia lesap. Tadi dia ada di tempatnya. Kalau kau nak kata kami bohong pun terserahlah pada kau kerana kami pun memang tak tahu ke mana dia pergi. Sorry yek!” Katrina menjelas dengan panjang lebar untuk memahamkan jejaka yang sedang menanti tanpa rasa jemu. Ezral mencebik.

“Tak pelah kalau korang tak tahu. Aku balik dulu. Asal je aku datang, dia pasti tak ada. Macam tahu-tahu je aku nak datang. Bagus sangat ke hah si Qisteen tu. Apasal aku dan Zairil je susah nak jumpa dia. Orang lain senang-senang dapat jumpa dia. Benci betul!” Ezral membebel sendirian. Berkarung-karung bebelan yang dia hadiahkan buat Marsya Qistina yang sudah penat menunggu pemergian jejaka itu. Sementara menunggu, kertas-kertas yang bersepah di bawah meja tadi sudah kemas disusunnya tanpa disedari oleh pemuda yang berada dekat dengannya.

‘Nasib baik kau tak perasan aku yang sedang mengemas di bawah menja ni Ezzy. Kalau tidak, naya... Wa cakap lu!” ketawa Marsya Qistina lagi.

Di Kala Cinta Terdetik


SINOPSIS :

Ezmira dan Hezriq sering bertelagah pendapat apabila bersua. Pertengkaran demi pertengkaran sering tercetus di antara mereka. Namun dalam diam berputik satu perasaan yang sukar dimengertikan oleh Ezmira pada Hezriq. Ezmira mengkagumi keperibadian pemuda itu walaupun jejaka pujaannya itu merupakan seorang playboy. Entah kenapa Ezmira tidak berani meluahkan apa yang tersirat.

Ketika menjalani praktikal sebagai wartawan pelatih, jejaka bernama Danish Dato Zaidi muncul dalam hidup Ezmira dan cuba memikatnya. Jemputan Danish ke banglonya telah menemukan Ezmira dengan bangsal ‘castle’ yang dianggapnya unik tetapi dikatakan berhantu oleh Danish. Namun bagi Ezmira terselit sesuatu rahsia disebaliknya. Ezmira cuba untuk membongkarkan rahsia itu. Danish yang menaruh hati akhirnya melamar Ezmira.

Hatinya remuk bila Hezriq memperkenalkan teman wanitanya kepada Ezmira. Tidakkah selama ini Hezriq memahami isyarat cinta yang sering dilemparkan Ezmira kepadanya? Dan terbongkarkah rahsia selama ini disimpan di bangsal ‘castle’ milik keluarga Danish?


PROMO - DIALOG :

“Mira, kau tak apa-apakah?” Muka Kak Inaz pucat lesi, tiada setitik darah pun yang mengalir pada wajahnya yang ayu itu.

“Mira tak apa-apa. Kak Inaz janganlah risau. Mira selamat.” Aku cuba berlagak tenang untuk tidak merisaukan Kak Inaz walaupun keadaan itu cukup menggentarkan perasaan wanitaku.

“Kau gila Mira! Ambil tindakan sendiri begitu. Kalau sesuatu terjadi pada kau bagaimana? Akak yang akan dipersalahkan, tahu tak! Risau akak tau! Lain kali jangan buat macam tu lagi, yang kau pun sama Man apasal diikutkan saja cakap budak ni.” Kak Inaz memarahiku. Tapi aku tetap dengan muka yang selamba dan Abang Man hanya tersenyum kelat.

Pada keheningan petang itu, tidak semena-mena aku dan Abang Man turut dijadikan berita eksklusif untuk di paparkan. Ramai pihak media yang tidak mahu ketinggalan menemuramah kami untuk akhbar masing-masing. Mereka begitu taksub dengan keberanian yang kami tonjolkan untuk menggagalkan cubaan penyeludup yang berbahaya daripada melarikan diri dan terlepas begitu sahaja.

Tangisan Dalam Kerinduan


SINOPSIS :

Sekiranya kau lihat titisan air hujan jatuh menimpa bumi, itulah tangisanku dalam kerinduan buatmu ...


PROMO - DIALOG :

“Danny, sekiranya kau lihat titisan air hujan jatuh menimpa bumi, itulah tangisanku dalam kerinduan buatmu. Dan aku takkan menyayangi orang lain sebagaimana aku pernah menyayangi diri kau, Danny ...” Daniela menatap wajah Danny Izrul buat kali yang terakhir lalu melangkah masuk tanpa menoleh ke arahnya lagi kerana Daniela takut hatinya akan goyah dengan keputusan yang telah digenggamnya sendiri.

Air mata Danny Izrul juga turut merembes keluar, tanpa di pinta secara tiba-tiba. Danny Izrul memanggil Zuhair sebelum jejaka itu mebuntuti Daniela.

“Zach ...”

Zuhair berpaling. “Ya Danny?”

“Kau jaga Diey baik-baik.”

Zuhair tersenyum. “Kau tahu aku akan buat begitu walaupun tanpa disuruh. Take care Danny.” Zuhair menepuk-nepuk bahu Danny Izrul lalu melangkah masuk.

Kesemua mereka di situ menghantar Daniela dan Zuhair hingga bayangan mereka hilang dari pandangan mata.