Sunday, February 10, 2008

Hanya Dikau


SINOPSIS :

Peristiwa pahit yang berlaku pada hari pernikahan membuatkan Ira Fashua, wanita yang telah berumur tidak lagi mempercayai lelaki mahupun cinta yang datang bertandang. Dia sanggup hidup sendiri selagi kesangsiannya terhadap lelaki masih melekat kukuh di hati dan jiwanya.Hakikatnya, Ira Fashua seperti wanita lain yang ingin dicintai, dikasihi dan dibelai namun setiap kali dia ingin menyambut salam pecintaan, dia terpaksa menolak setelah bayangan silam datang menerjah di layar matanya.Namun, pertemuan Ira Fashua dengan Erze Zullis telah merubah corak kehidupannya yang lama. Pertemuan yang tidak disengajakan dengan Erze Zullis ketika menyambut kepulangan sepupu Ira Fashua, Nuradriana Hany di lapangan terbang telah mencetus pertengkaran antara mereka. Pantang bertemu pasti percaturan kata akan terhasil.Kebencian sesama sendiri menular di hati masing-masing sehinggalah pada suatu hari Erze Zullis menyedari bahawa dia mencintai Ira Fashua dalam diam walaupun wanita itu lebih tua daripadanya. Namun begitu, kehadiran Xu Da Feng, usahawan berbangsa Cina-Korea kembali menyuntik rasa cinta di hati Ira Fashua untuk menerima kehadiran lelaki di dalam hidupnya semula.Dapatkah Erze Zullis menagih cintanya dari Ira Fashua dan mengeluarkan Ira Fashua dari dunia kesangsiannya terhadap lelaki? Siapakah lelaki yang telah berjaya mencuri hati Ira Fashua? Erze Zullis atau Xu Da Feng?


PROMO DIALOG :

“Banyaknya minyak, makcik ... Eee, boleh kau tahan dengan minyak-minyak ni? Tak bau busuk ke? Yaakkhh!” Ira Fashua terus mengusik Nuradriana Hany dengan menutup hidungnya seolah-olah bau minyak itu terlalu busuk.

“Apa busuk-busuk ni? Aku tak bau apa-apa pun. Kau jangan nak lebih-lebih!” Nuradriana Hany melenting geram kerana dia sudah tidak tahan diusik oleh Ira Fashua sepanjang sesi mengurut.

“Mana ada aku lebih-lebih. Memang busuk baunya. Eee ...” Ira Fashua menutup hidungnya menambahkan lagi kesakitan di hati Nuradriana Hany.

“Makcik tengoklah ... Dia saja nak sakitkan hati saya. Minyak ni tak bau busuk kan?” Nuradriana Hany mengadu kepada mak andam setelah tidak dapat mematahkan kata-kata Ira Fashua.

“Eleh ... macam tu pun nak mengadu pada mak andam. Tapi, selamatlah ... pengapit pengantin tak payah nak sapu dengan minyak-minyak busuk ni. Fuh! Leganya ...” Ira Fashua mengipas-ngipas dirinya dengan tangan menunjukkan reaksi lega.

“Makcik ...” Nuradriana Hany masih lagi mengadu meminta mak andam itu menyebelahi dirinya.

“Korang berdua ni ... perangai tak ubah macam budak-budak. Dah nak kahwin, buatlah cara nak kahwin.” Bukan hendak menyebelahi sesiapa, malah kata-kata amarah pula yang dikeluarkan oleh mak andam kepada kedua-duanya.

“Entah dia ni ... dah nak kahwin, buatlah cara nak kahwin jangan buat perangai macam budak-budak!” Ira Fashua mengambil kata-kata mak andam sebagai bahan usikan untuk Nuradriana Hany. Nuradriana Hany semakin geram dengan setiap usikan Ira Fashua.

“Kaulah yang mula dulu sampai aku berperangai macam ni!” Nuradriana Hany mula membuka taringnya.

“Eh, jangan nak salahkan aku pula. Aku tak ada kena-mengena dalam kes kau!” Ira Fashua menafi sekeras-kerasnya Nuradriana Hany berperangai sedemikian berpunca daripadanya.

“Sudahlah tu, korang berdua ni! Korang ni suka makan cenonggeng ayam, ye? Patutlah mulut sorang-sorang bising sangat.” Mak andam terpaksa mencelah untuk memberhentikan tembakan kata yang sedang berpadu itu bak peluru berpandu.

“Kegemaran dialah cenonggeng ayam tu, makcik ... patutlah mulut tak reti nak duduk diam!” Pantas sahaja Ira Fashua menembak kata setelah mak andam itu menutur ayat yang terakhir.

“Bila masa pula aku suka makan cenonggeng ayam? Bukan kegemaran kaukah cenonggeng ayam tu?” Nuradriana Hany juga tidak mahu mengalah dalam medan bicara ini. Mak andam yang tidak tahan dengan petelingkahan kedua-dua mereka, terus menamatkannya dengan satu cara.

“Sudah! Jangan nak bertekak kat sini. Pening kepala aku dengar. Kau ke sini. Kau bising sangat dari tadi, kan ...” Mak andam menarik lengan Ira Fashua lalu ditanggalkan satu-persatu pakaian wanita itu sebelum kain batik disarungkan ke tubuh. Terpinga-pinga Ira Fashua seketika dengan perlakuan mak andam. Namun, dia tidak menolak malah seperti orang dipukau hanya menurut sahaja dengan setiap kehendak mak andam itu.

Seketika kemudian, habis seluruh badan Ira Fashua dikerjakan oleh mak andam itu dengan melumurkan minyak sama seperti Nuradriana Hany. Ira Fashua terus-menerus menguncikan bicaranya kerana masih terkejut apabila badannya telah pun berlumuran dengan minyak yang dikatakan busuk sebentar tadi. Apa yang berlaku kini mengundang ketawa Nuradriana Hany. Terkekeh-kekeh Nuradriana Hany gelakkan Ira Fashua. Besar pulak tu. Sesiapa yang mendengar, pasti akan terundang amarahnya.

“Hahaha ... padan dengan muka kau! Kata kat aku lagi ... sekarang, kau pun kena rasa apa yang aku rasa.” Ujar Nuradriana Hany dalam sisa ketawa yang masih melekat di rongga tekaknya. Mencuka masam wajah Ira Fashua apabila terkena dengan bahang usikan Nuradriana Hany. Hendak melarikan diri juga tidak sempat kerana mak andam itu sedang rancak mengurutnya. Sesekali, terasa sedap pula apabila menerima urutan seperti itu.

“Diamlah kau! Ini semua gara-gara kaulah, aku pulak yang kena urut! Mana ada pengapit pengantin turut diurut ... tapi dalam majlis kau ni sempoi sikit, pengapit pun kena jugak. Tak guna betul!” Lenting Ira Fashua tetapi disambut dengan ketawa besar Nuradriana Hany dan mak andam.

“Baguslah, sekurang-kurangnya aura pengantin aku turut dapat dekat kau sikit. Makcik, tolong baca sekali ayat-ayat mempercepatkan jodoh. Kalau ada ayat tolak bala, lagi bagus!” Giliran Nuradriana Hany pula membuka gelanggang usikan buat Ira Fashua setelah pintu gelanggang itu telahpun ditutup sebentar tadi.

“Hoi! Hantu raya punya budak! Apa ayat tolak bala pulak ... aku tak bawa balalah tapi bawa tuah, tau. Kau jangan nak lebih-lebih, aku simbah dengan minyak ni baru tahu. Jodoh aku lambat sikit aje, bukannya banyak ...” Ira Fashua terus melenting geram.

2 comments:

dina said...

Bi, best novel ni... aku promote kengkawan beli... tapi dialog panjang sangat la... konpius... hehehee... aku penah baca ACK tapi aku rasa HD lagi baik dari ACK... n aku akan baca Hati Ini Milik Siapa... tu soklan untuk diri kau Bi... Hati Kau Milik Siapa... hehehee TQ ye bi... kayu penyokong kau ni memang berguna!

Ebriza Aminnudin said...

Dina,
heheeh .. TQ for all ur komen. Kalau dialog tak panjang susah nak bicarakan tentang hati. Take note nanti aku buat dialog pendek2 kalau tak de menda yang nak xplain panjang2.

ACK lebih kepada Aku Budak Baru Belajar.

Hatiku milik siapa? Hmm tak ada siapa yang sudi memilikinya Na... Serius. :)