Monday, April 18, 2011

Vila Amira Syakila


SiNoPsIs:


Farra Amalina seorang gadis yang suka menulis cerita tentang dunia mistik. Pada suatu hari, dia mendapat tahu bahawa ada sebuah vila di daerahnya mempunyai unsur-unsur misteri. Dia berminat menjadikan vila itu sebagai bahan novelnya. Setelah tiga hari menetap di vila itu, Farra Amalina diganggu. Dengan sendirinya cerita yang tidak ada dalam bab yang dikarang, tiba-tiba sahaja tercatat di situ. Makhluk itu membuat huru-hara dan Farra Amalina kini berada di alam lain di mana dia terpaksa menyelesaikan masalah Amira Syakila dan mencari mangsa pembunuhannya.


“Emmelyn nak pergi ke vila yang berpuaka tu? Tak boleh! Macam-macam kisah yang ibu dengar tentang vila tu.” – Siti Hairani


“Saya Pak Airy, tukang kebun di vila ini dan juga penjaganya. Silalah masuk dan cuba menyelesakan diri. Semoga Berjaya menetap di sini dan tahniah kerana berani mencuba untuk menetap di sini.” – Pak Airy


“Apa dah jadi dengan aku ni? Tak mungkin mimpi aku benar-benar wujud di alam yang nyata. Tidak … tak mungkin! Semua ni tak masuk akal. Aku takkan tidur malam ni agar aku tidak akan bermimpi lagi. Ya Allah … kenapa tiba-tiba sahaja aku semakin takut dengan kehadiran malam. Aku juga takut untuk menghantar diri kea lam khayalan. Aku akan berjaga selagi mata ini termampu. Ya… itu yang akan aku lakukan.” – Farra Amalina



PrOmO:

“Kau telah duduk di vila ini sekian lama dan kau harus membayar sewanya kerana tidak ada yang percuma di sini.” Mata makhluk hodoh Amira Syakila mula merah menyala dan seperti hendak terjojol keluar sebaik sahaja selepas kata-kata itu berakhir. Farra Amalina terdampar di dalam dasar lautan kehairanan.


“Sewa? Sewa apa yang harus aku bayar kerana kau tak mungkin akan menerima wang aku dan aku yakin kau tak memerlukan wang itu.” Farra Amalina memberanikan dirinya menjawab setiap patah perkataan yang terlahir daripada mulut makhluk hodoh Amira Syakila. Makhluk hodoh Amira Syakila ketawa ngeri lagi.


“Bukan wang yang harus kau bayar tapi sewanya adalah dengan mengorbankan titisan-titisan darah yang akan menjadi mangsa ku. Hahaha ....” Ugutan hantu Amira Syakila amat menakutkan dan Farra Amalina tidak mahu membuat perjanjian yang tidak berasas langsung itu.


“Kau dah gila! Aku tak akan membayar apa-apa sewa pun. Kau faham tak?” Farra Amalina berdegil tidak mahu menuruti kemahuan makhluk hodoh Amira Syakila membuatkan makhluk hodoh itu sekali lagi mengamuk sakan.


“Kau dah menetap di sini dan kau harus membayarnya sama ada secara sukarela ataupun dipaksa.” Makhluk hodoh Amira Syakila membedal tubuh Farra Amalina dengan bertubi-tubi sehingga membuat Farra Amalina tidak berdaya lagi dan lemah.

Farra Amalina cuba mengelak diri daripada dibedal tetapi tidak mampu. Akhirnya mata Farra Amalina tertancap pada sebuah tingkap yang tidak tertutup, lalu dengan kudrat yang masih tinggal Farra Amalina memaksa kakinya berlari keluar melalui tingkap itu. Farra Amalina sempat melepaskan diri tanpa sempat makhluk hodoh Amira Syakila menahannya lagi.

Reza & Gergasi Mons (FP JUNIOR)


SiNoPsIs:

Rezaimen dan rakan-rakan sekali lagi mengembara ke alam misteri. Ketika mereka meninjau kawasan kedua yang akan dibangunkan Darwis, papa Rezaimen, terdapat banyak daun gergasi di situ. Ketika sedang mengutip daun itu untuk dijadikan kenangan, Falda Akma menjumpai kunci emas yang sangat kecil.

“Hei, kau nak buat apa tu, Isha?” Falda Akma yang terkejut terus menjerit.

“Aku nak bukalah,” balas Irisha Myra selamba.“Bahaya!” Namun tidak sempat Falda Akma menghalangnya, Irisha Myra sudah pun memulas kunci emas kecil yang dimasukkan ke dalam pintu itu.

Tiba-tiba sahaja Irisha Myra terasa tangannya ditarik masuk. Dia memegang tangan Rezaimen yang ada di sebelahnya ketika itu. Rezaimen yang terkejut memegang tangan Falda Akma dan Falda Akma dengan spontan memegang tangan Dinzly. Mereka bersama-sama ditarik masuk ke dalam pintu kecil itu.

Apakah cabaran yang menunggu mereka di sana? Ikuti pertemuan Rezaimen, Dinzly, Falda Akma dan Irisha Myra dengan Gergasi Mons, penduduk Kamping Renfen yang pelik serta Pawang Remen.

PrOmO:

“Wau! Memang wujudlah pintu kecil ni.” Irisha Myra rasa teruja.


“Bagi sini, aku nak tengok pula.” Dinzly menepikan tubuh Irisha Myra untuk melihat kebenarannya. Dinzly juga terkejut sebagaimana gadis itu. Pintu kecil Alice in Wonderland sememangnya wujud.


“Giliran aku pula.” Falda Akma turut melakukan perkara yang sama. Dia melebarkan senyuman kerana pendapatnya dan Rezaimen tidak salah lagi. “Aku dah agak, pintu kecil untuk kunci emas kecil ni pasti wujud.” Falda Akma menayangkan kunci emas kecil yang berada di tangannya. Tidak semena-mena, Irisha Myra merampas kunci emas kecil yang berada di tangan Falda Akma dan terus meniarap semula sambil memegang kanta pembesar Dinzly.




“Aku nak bukalah,” balas Irisha Myra selamba.


“Bahaya!” Namun tidak sempat Falda Akma menghalangnya, Irisha Myra sudah pun memulas kunci emas kecil yang dimasukkan ke dalam pintu itu.


Tiba-tiba sahaja Irisha Myra terasa tangannya ditarik masuk dan dia memegang tangan Rezaimen yang ada di sebelahnya ketika itu. Rezaimen yang terkejut memegang tangan Falda Akma dan Falda Akma dengan spontan memegang tangan Dinzly. Mereka bersama-sama ditarik masuk ke dalam pintu kecil itu.


Ini semua Irisha Myra punya pasal! rungut mereka bertiga! Sempat lagi tu!

Reza & Negara Kristal (FP JUNIOR)


SiNoPsIs:


Perpindahan Rezaimen ke sebuah perkampungan yang diberi nama Clareng cukup membuatkan hati remajanya memberontak. Dia tidak mahu menetap di situ kerana pada pendapatnya, tiada apa yang menarik di situ. Kolot!

Namun, satu cerita yang menarik tentang misteri paya bakau yang diceritakan kepada Rezaimen oleh rakan-rakan barunya membuatkan dia teruja untuk menerokai hutan paya bakau itu.


Dapatkah Rezaimen dan rakan-rakannya membongkarkan misteri yang terkandung di dalam hutan paya bakau itu? Ikutilah kisah pengembaraan Rezaimen, Dinzly, Falda Akma dan Irisya Myra menerokai hutan paya bakau sehingga menemukan mereka ke Negeri Kristal. Apakah yang ada di Negeri Kristal itu dan cabaran yang bagaimanakah sedang menanti mereka di sana?


PrOmO:

“Aku hidu sesuatu. Cukup asing sekali. Baunya seperti...” Pencipta Ramuan itu cuba untuk hidu sekali lagi namun kali ini dia tidak berjaya.


“Cepat. Hidu ramuan ini,” bisik Dinzly kepada rakan-rakannya. Sesudah mereka menghidunya, tiba-tiba sahaja gemuruh yang melanda di jiwa mereka lenyap dan kini mereka kelihatan lebih tenang daripada sebelumnya. Dinzly tersenyum puas, lalu dia menghalakan pandangannya ke arah pembuat ramuan itu semula.


“Ah! Mungkin perasaan aku saja. Tak mungkin ada sesiapa di sini selain aku. Bolehlah aku mencuba resipi baru aku semula. Mudah-mudahan ia berjaya kali ini dan sesiapa sahaja yang cuba bersembunyi tidak akan terlepas.” Pencipta Ramuan itu berkata sambil ketawa membuatkan kumpulan Rezaimen kecut perut semula.

Ingin Hati Melukis Kata

SiNoPsIs: Menjangkau usia yang lewat membuatkan perkahwinan menjadi tuntutan. Hati mungkin belum dibuka namun hati keluarga yang sudah terlalu luas bukanya harus dijaga. Atas sebab itulah Ainsya Najma, gadis yang mendapat gelaran andartu diam menerima pilihan ibu. Begitu juga Ruzaiman, bujang terlajak akur saja dengan kehendak ibu. Namun tulisan takdir tidak seiring.

Ainsya Najma, gadis yang hanya tahu setuju, tiba-tiba menolak perkahwinan yang bakal berlangsung dua minggu lagi. Dia tidak boleh teruskannya! Dia cuba lari daripada kenyataan, namun kenyataan takkan pernah tinggalkannya. Dia perlu juga menjadi raja sehari dalam dua minggu itu—dengan pengantin lelaki berbeza! Dia kenal Solehandin sekian lama, namun lelaki itu memberi nanar dan kini Raimi hadir untuk cuba mengubati.

Ruzaiman, sukar untuk cinta mengulit hatinya walau dihidang berpuluh gadis cantik, termasuklah Jazshira, si model lampai terkenal. Namun, atas kemahuan mama, dia jalinkan juga hubungan, tanpa getaran dalam hati. Dia tahu tiada cinta untuk Jazshira namun dia terperangkap juga dalam kancah percintaan ciptaan sendiri, sehinggalah hadirnya Fadxiora, menggetar hati dan sukma.

Apakah Ainsya Najma akan membuka peluang kedua untuk Raimi? Adakah Ruzaiman akan mendapatkan cinta Fadxiora yang menggetar hati? Dan, mungkinkah peluang itu ada untuk insan asing menjadi dekat apabila hati sudah melukis kata, bahawa cinta sudah ada…?

PrOmO:


“Weh, makan kat sini nampak? Mimpi apa? Rindu kat aku eh?” Ezmira menyergah Ruzaiman dari belakang dengan menepuk bahu jejaka itu.


Gulp! Tertelan liur Ruzaiman memandang Ezmira yang sedang tersengih sambil keningnya diangkat-angkat. Manakala Fadxiora pula terpinga-pinga dengan sapaan Ezmira secara spontan itu.


Mereng! Kacau daun sajalah minah senget ni. Asal aku ada saja, dia mesti ada. Tak dak restoran lain ka yang hang nak pi? Aduh! Ruzaiman menggumam di dalam hati.


“Jangan merepeklah. Tak dak masa nak rindu kat hang.” Ruzaiman sudah mula menggunakan loghat yang serupa dengan Ezmira, membuatkan Fadxiora semakin terpinga-pinga.


“Amboi! Mentang-mentanglah ada puteri kayangan, puteri di bumi hang nak lupakan ya. Aku belasah karang baru tau. Bila muka lempeng basi mai jumpa aku, bila muka manis lupakan aku. Bertuah!” Ezmira mula menjahit benang-benang usikannya. Tersengih Ruzaiman mendengar kata-kata daripada Ezmira.


“Hang tak boleh bagi can ka? Asal aku ada saja hang mesti muncul. Pilah duduk kat kawan-kawan hang tu. Tak kacau aku tak boleh ka?” Kini medan percaturan kata sudah berada di dalam kontinya.


“Aku mana boleh tak kacau hang, nanti aku rindu. Kalau aku dah rindu, susah aku nak hilangkan dahaga rindu tau,” ujar Ezmira dalam gaya cukup mengada-ada sambil memegang mesra lengan Ruzaiman.


Ezmira memang biasa bergurau sebegitu dengan Ruzaiman. Hanya dengan Ruzaiman sahaja dia selesa bergurau dalam apa jua cara tanpa batasan. Sambil-sambil itu Ezmira menjeling ke arah Fadxiora yang sedang menyaksikan tayangan perdana filem romantik. Semakin tercengang-cengang Fadxiora melihat ke arah mereka.


“Mengada-ada betullah hang ni. Lepaslah, nanti ada orang bagi tau kat laki hang, aku tak tau. Kan dah jadi kontroversi dan spekulasi.” Ruzaiman cuba menjaga hati Fadxiora di kala itu. Cewah!


“Takut kontroversi dan spekulasi ke... takut orang sana terasa hati?” Ezmira mengenyitkan mata.

Friday, September 25, 2009

Benci Tapi Rindu


SINOPSIS

Impian Norziati hendak menjadi model akhirnya tercapai apabila Syaferry Agensi membuat ujibakat secara terbuka. Namun, Syafrizal pemilik agensi itu telah menolak Norziati bulat-bulat dek kerana wajah gadis itu tidak memenuhi kriteria yang dicari oleh agensinya walaupun bakat Norziati memang menyerlah.

Norziati tidak berputus asa, lalu dia merawat wajahnya atas cabaran Syafrizal dan datang semula untuk sesi ujibakat. Syafrizal tetap dengan egonya tidak mahu mengambil Norziati namun Erry rakan kongsi Syafrizal berkeras menerima Norziati kerana gadis itu memiliki bakat semula jadi yang luar biasa dalam bidang ini. Syafrizal terpaksa akur.

Perbalahan demi perbalahan sering terjadi antara Syafrizal dan Norziati walaupun gadis itu sudah melakukan yang terbaik untuk agensinya. Tidak cukup dengan itu, gelaran demi gelaran saling dilemparkan di antara satu sama lain membuatkan agensi itu tidak sunyi dengan kerenah kedua-duanya yang amat mencuit hati.

Sehingga bilakah perbalahan ini akan berakhir? Walaupun bibir mengucap benci namun masihkah ada rindu yang hadir di antara mereka berdua?


PrOmO:

“Kau memang dah benarkan ke gelaran tu menjadi milik kau?” Zuliahana kembali melebarkan sengihannya. Terangkat seketika mata Norziati.

“Gelaran apa?” Norziati tidak puas hati.

“Pingu. Kih, kih, kih.” Zuliahana ketawa lagi.

“Weh, aku pelangkung kau kang. Siapa suruh kau guna gelaran tu kat aku?” Norziati mula mengganas sambil menarik leher Zuliahana.

“Weh, mati aku macam ni. Bukan aku yang guna tapi kau sendiri yang cakap.” Zuliahana membela dirinya.

“Bila masa aku cakap?” Norziati masih ingin mengelak dan mempertahankan dirinya.

“Tadi tu... Lepas tu, barulah aku boleh tunjuk kat mamat tudung saji tu yang Pingu ni bukan sebarang Pingu. Pingu Gee adalah Pingu yang bernilai,” ajuk Zuliahana.

Norziati sudah mengagak yang Zuliahana tidak akan mengalah dalam mengenakannya. Aduh! Macam mana dia boleh tidak tersedar dengan mengeluarkan ayat itu?

“Tak ada maknanya. Aku tak cakap pun. Aku benci dengan tudung saji tu. Kalau dah aku benci, takkan aku nak membenarkan gelaran tu menjadi milik aku?” Norziati masih ego.

“Benci tapi rindu ek...?” Zuliahana tidak puas menyakat.

“Betul-betul nak kena pelangkung kau ni.” Norziati sudah bangun dari perbaringannya, begitu juga dengan Zuliahana.

“Betullah tu... kau benci tapi rindu,” ulang Zuliahana sambil melarikan diri ke dalam biliknya sendiri. Tidak sempat Norziati mengejarnya.

“Hantu kau, Zulia. Aku tak pernah rindu kat dialah. Aku benci!!!” jerit Norziati sekuat hati sebelum mengunci pintu biliknya kerana dia tidak mahu ada sebarang gangguan selepas ini.

Sementara itu di dalam bilik, Zuliahana ketawa berdekah-dekah. Gelagat Norziati benar-benar menghiburkan hatinya dan lenyaplah sudah kesunyian yang bertandang selama gadis itu tiada.

Tuesday, March 31, 2009

Jangan Kau Tangisi




SiNoPsIs:

“Pengorbanan kecil Effa cakap? Ia berkait rapat dengan hidup Mizal, jadi ini bukanlah pengorbanan kecil tapi ia merupakan pengorbanan yang terlalu besar. Mizal tak sanggup mempertaruhkan hidup Mizal di tangan Azini. Kenapa Effa menuntut pengorbanan yang bukan-bukan dari Mizal?” – Zahamizal.

“Maafkan abang, Effa kerana telah mengkhianati kepercayaan yang luhur itu. Memang abang bersalah kerana telah melakukan sesuatu yang diharamkan oleh Allah.” – Huzaifah

“Effa, awak telah memberikan ujian yang begitu hebat pada saya. Saya akan terima cabaran awak jika itulah satu-satunya cara yang boleh mengembalikan kepercayaan awak pada saya.” – Fizran

“Apa masalah you yang rumit tu Hezzy? Terangkanlah I sanggup menghadapi segala kemungkinan bersama dengan you asalkan you tak singkirkan I dari sisi you mahupun dari hidup you.” – Umran Zahini

‘Ingin sekali aku ucapkan selamat tinggal pada dunia penderitaan dan kesengsaraan yang telah lama menghuni dalam diri ku ini’ – Haifa Hezzy
........................................................................................................................

Jangan Kau Tangisi merupakan kisah pengorbanan seorang insan terhadap insan-insan yang disayanginya. Perngorbanan yang begitu besar dalam memenuhi setiap permintaan walaupun melukakan hati sendiri demi kebahagiaan insan-insan di sisinya yang amat disayanginya. Tanpa ketabahan dan kesabaran yang begitu tinggi, kita mampu terkeluar daripada landasan kehidupan yang sebenar. Namun, ia juga sebahagian ujian daripada Allah SWT untuk melihat sejauh mana kita tabah dan sabar dalam menempuhi apa yang telah diagendakan untuk kita. – Ebriza Aminnudin.



PrOmO ScEnE:

ZAHAMIZAL :

“HAIFA HEZZY!!!” Sebaris nama dilaung kuat menyebabkan ketiga-tiga gadis itu berpandangan sesama sendiri. Kemudian pandangan mereka beralih pula kepada empunya diri yang melaung nama kepada empunya badan. Kelihatan Zahamizal berlari-lari mendapatkan mereka dengan sejambak bunga teddy bear yang diselang seli dengan bunga gardenia hidup yang berada di dalam tangannya. Haifa Hezzy yang melihat mendengus geram.

‘Hesy, dah gila ke mamat ni menjerit-jerit nama aku di tengah-tengah jalan? Ingat ini filem hindustan ke apa? Tak habis-habis dengan perangai sewelnya. Hari tu suit-suit dalam dewan kuliah, ni terjerit-jerit pula di tengah jalan. Zahamizal ni selalu memalukan aku.’ Haifa Hezzy menggerutu hebat di dalam hati. Pandangan Haifa Hezzy dialihkan pula kepada kedua orang sahabatnya yang kaku dengan sandiwara yang dimainkan oleh Zahamizal. Pandangan mereka juga bertaut dengan Haifa Hezzy ketika gadis itu mengadap mereka. Wajah Haifa Hezzy mencuka. Tiada lagi terpalit senyuman yang manis. Gerun juga mereka melihat wajah yang ditonjolkan ketika ini.


HUZAIFAH :

“Abang!” Huzaifah segera memaling kepada yang memanggil dan dia agak terperanjat dengan kehadiran gadis itu. Dia menutup badannya yang tidak berbaju cuma bertuala sahaja. Maklumlah lelaki itu baru sahaja selesai mandi sebab itulah dia dalam keadaan yang tidak sepatutnya ditonton oleh Haifa Hezzy. Hati Haifa Hezzy sedikit tercuit dengan gelagat Huzaifah lalu menguntum senyuman di bibirnya. Matanya galak memandang Huzaifah yang kelihatan malu-malu. Hati Haifa Hezzy semakin digeletek lucu namun dicuba dengan sedaya upaya untuk menahan daripada terburai ketawanya.

“Effa?!! Macam mana boleh ada kat sini? Masuk dari mana?” Huzaifah kelihatan menggelabah ketika mula bersuara dengan tunangnya.

“Effa masuk dari pintu bang. Mak Aci Yang yang benarkan Effa jumpa abang di bilik. Maafkan Effa kerana datang secara mengejut. Tapi ada sesuatu yang perlu diselesaikan antara kita.” Haifa Hezzy bergurau spontan lalu mengulum senyuman lagi. Seketika kemudian, dia kembali serius semula. Huzaifah juga mengulum senyuman yang tidak menjadi menandakan dirinya sudah terkena dengan Haifa Hezzy.

“Nak bincang apa lagi Effa? Kita akan bernikah dalam beberapa hari lagi dan Effa tak sepatutnya datang ke bilik abang di waktu pernikahan kita yang semakin hampir ataupun Effa dah tak boleh tahan lagi?” Huzaifah bergurau nakal membuatkan Haifa Hezzy tidak gemar dengan gurauan seumpama itu, namun disabarkan hatinya dan kekal dalam situasi tenang.


FIZRAN:

“Okeylah, okeylah ... Sebab Haiza tau Kak Effa sanggup lalu di depan rumah zoo negara tu. Kalau tak kerana Haiza, jangan haraplah!” Persetujuan daripada Haifa Hezzy amat menggembirakan Yuliar, dia amat berharap akan bertembung dengan Fizran. Manakala Haifa Hezzy pula sebaliknya berdoa di dalam hati agar tidak bertembung dengan Fizran.

‘Ya Allah, ya tuhan ku ... Janganlah jumpa dengan si labu tu.’ Haifa Hezzy terus berdoa sambil berjalan. Ketika ketiga mereka melintasi sahaja di hadapan rumah bujang itu, pelbagai suara yang dapat di dengar dari dalam rumah. Pelbagai bunyi yang dibuat sehingga membingitkan telinga Haifa Hezzy.

“Tu lah kau Yul. Kak Effa dah cakap jangan lalu sini tapi kau degil nak lalu juga. Tengok tu, pelbagai peliharaan zoo negara dapat di dengar. Sakit tau telinga ni.” Haifa Hezzy mengomel tetapi Yuliar hanya memekakkan sahaja telinganya sambil mencuri pandang ke arah rumah bujang itu seraya menghadiahkan sekuntum senyuman. Fizran yang baru pulang dari kerja sedang berehat di ruang tamu, begitu teruja dengan suara-suara yang dikeluarkan oleh rakan-rakannya lalu terus menjengah wajahnya ke luar pintu pagar. Hatinya begitu gembira melihat Haifa Hezzy yang berada di situ bersama Yuliar lalu Haifa Hezzy segera ditegurnya akibat terlalu rindu dengan gadis yang sering mengelak diri daripadanya. Fizran sendiri tidak tahu bagaimana Haifa Hezzy dapat menyembunyikan diri daripadanya sejak peristiwa di stesyen bas tempohari.

“Hai Temah, jogging ke?” Fizran menyedekahkan sekuntum senyuman yang teramat manis. Kaki Haifa Hezzy terhenti secara automatik apabila terdengar nama itu dilaungkan oleh Fizran dan kini Haifa Hezzy memandang Yuliar dan Haizana Hanny yang sudah pun menghamburkan ketawa yang kuat. Haifa Hezzy mengecilkan matanya lalu pandangan dibuang kepada Fizran pula. Sakit hatinya bila dilaung dengan nama itu.


UMRAN ZAHINI:

“I juga berharap begitu Han dan I selesa bertemu dengan papa you. Beberapa minggu kita baru balik, I dah mula rindu dengan papa you, hasienda you, tita, tiyo dan juga Maria.” Jujur Haifa Hezzy meluahkan rasa hatinya.

“Maria juga rindukan you. Setiap hari sms I suruh kirim salam pada you. Malah semua yang ada di sana rindukan you. Babe, you rindu kat I tak?” Umran Zahini sudah mula mengungkapkan madah dari taman jiwanya.

“Hindi ko alam.” Haifa Hezzy membalas dalam bahasa Tagalog yang bermaksud ‘aku tidak tahu’ membuatkan Umran Zahini sedikit merajuk.

“O, talaga (Oh, ye ke)?. Yelah, siapalah kita ni untuk dirindui, kan?” Wajah merajuk Umran Zahini menjengkelkan Haifa Hezzy.

“Hesy, mengada-ngada pula! Bila you rancang nak bawa I jumpa inay you?” Haifa Hezzy menukar tajuk perbualan kerana dia begitu malu berbicara soal hati walaupun dengan orang yang dia sayang.

“Kalau tak ada aral, akhir bulan depan Insya-Allah.” Haifa Hezzy cuma mengangguk menyetujui dengan rancangan yang telah diaturkan oleh Umran Zahini. Walaupun dia gembira tetapi dia tidak tahu kenapa hatinya berdebar semacam untuk diperkenalkan kepada emak jejaka itu.

“Han, you tak mengantukkah? I dah tak larat nak angkat mata lagi ni.” Haifa Hezzy sudah tidak tahan mengantuk dan jikalau boleh dia hendak masuk tidur dengan segera.

“Mata I tak rasa mengantuk jika dapat menatap wajah you. You ni cantik tau Babe walaupun tanpa secalit make-up. I suka tengok you in natural beauty.” Balas Umran Zahini memuji kecantikkan kekasih hatinya membuatkan Haifa Hezzy berada di awangan seketika.

“Dahlah tu. Kembang I nanti, habis struktur badan I yang separuh langsing ni. I betul-betul mengantuk ni Han, you janganlah dera I.” Haifa Hezzy masih boleh bergurau walaupun dalam keadaan terlalu mengantuk ketika itu. Kasihan pula Umran Zahini melihatnya memaksa mata untuk dibuka lalu Umran Zahini akhirnya bersedia untuk pulang.

“Yelah... Yelah Babe. I pun nak balik ni. Miss kita (aku merinduimu).” Umran Zahini masih hendak dengar ungkapan cinta daripada bibir Haifa Hezzy walaupun dia tahu dia tidak akan dapat kerana Haifa Hezzy begitu malu untuk berbuat demikian.

“Aalis ka na!” Haifa Hezzy membalas dalam bahasa Tagalog juga yang bermaksud ‘pergilah’.

“Sige, diyan ka na (Okey, jumpa lagi, bye).” Balas Umran Zahini pula.

Haifa Hezzy mula memusing badannya untuk naik ke bilik namun sebelum Haifa Hezzy meneruskan langkah, Umran Zahini kembali memanggilnya. Haifa Hezzy tidak sedar batang tubuh Umran Zahini sudahpun berada di sisinya ketika nama wanita itu dipanggil.

“Hezzy...” Dengan malas Haifa Hezzy berpaling.

Kemudian dengan sepantas kilat tanpa sempat sebarang ayat keluar daripada bibir Haifa Hezzy, satu ciuman kasih hinggap di pipi wanita itu. Haifa Hezzy terperanjat. Matanya kembali terbuka luas namun belum sempat dia memarahi Umran Zahini, jejaka itu sudah pun melarikan diri. Dia geram dengan tindakan drastik jejaka itu, namun jauh dari dasar sudut hatinya dia berasa gembira dengan hadiah yang menjadi miliknya. Haifa Hezzy kembali memegang pipinya dengan sekuntum senyuman.

Wednesday, November 12, 2008

Mahakarya Cinta


SINOPSIS:

Dia sering dihina kerana memiliki rupa paras yang tidak cantik. Dia sering dipersenda kerana memiliki kulit yang hitam. Namun, dia disayangi ramai kerana sikapnya yang mudah bergaul dan penyayang. Dia disenangi kerana prihatin dan suka mengambil berat akan perihal orang yang mendampinginya. Dialah Zanzilawati Izzrunnie.

Persahabatannya dengan Zuraizee bermula sejak daripada kecil lagi. Mereka membesar bersama-sama di rumah anak-anak yatim Musyawarah. Mereka bersekolah bersama-sama dan juga berkerja di bawah satu bumbung. Namun persahabatan yang telah dibina selama bertahun-tahun itu akhirnya dilanda badai dan ombak ganas hanya kerana kehadiran Wizana di antara Zuraizee dan dirinya. Pelbagai helah Wizana lakukan demi untuk memisah mereka berdua. Pelbagai kata dilemparkan hanya kerana Wizana mencemburui perhubungan kedua-duanya.

Mampukah Zuraizee mahupun Zanzilawati Izzrunnie mempertahankan hubungan mereka yang terjalin sejak bertahun-tahun dahulu? Tegakah Wizana memisahkan kedua-dua mereka? Berputikkah cinta di antara dua orang sahabat ini walaupun kedua-duanya menegaskan bahawa di antara mereka hanyalah mempunyai satu perhubungan iaitu perhubungan adik-beradik.

PrOmO DiAlOg:

“Saya pun akan rindu dengan...” John Norafizan sengaja meleretkan kata-katanya membuatkan hati Zanzilawati Izzrunnie sedikit tenang sebelum keberangkatan.

“Dengan apa?” Zanzilawati Izzrunnie menjegilkan matanya terus menusuk ke bebola mata John Norafizan.

“Pelukan Cik Zila,” sambung John Norafizan semula sambil tersengih.

Meledak ketawa kesemua mereka dalam suasana yang hiba.

“Sekali dalam seumur hidup dan awak takkan dapat lagi pelukan saya selepas ini dan mungkin untuk selama-lamanya tapi... tak aci kerana awak tak membalas pelukan saya. Tak dapat saya nak rasa bagaimana hangatnya pelukan awak.” Galak Zanzilawati Izzrunnie menyakat John Norafizan.

“Nak rasa? Meh saya peluk sekarang.” John Norafizan mula menghampiri Zanzilawati Izzrunnie untuk memeluknya.

Terkejut badak Zanzilawati Izzrunnie lalu dia menjerit kecil dan dia melompat ke belakang, menyembunyikan diri di belakang seseorang untuk menghindari daripada John Norafizan memeluknya. Lingkaran tangannya semakin erat di bahu orang itu.

“Argh! Jangan, JN. Urat akal terputus ke apa? Tolong.” Gelagat Zanzilawati Izzrunnie meledakkan semula ketawa mereka yang melihat insiden itu.

“Ha... tahu pun takut. Tadi nak sangat.” John Norafizan juga tidak kurang galak dengan usikannya. Padanlah dia dengan Zanzilawati Izzrunnie. Kaki pengusik.

“Mengada-ngada. Wek.” Zanzilawati Izzrunnie menjelirkan lidahnya walaupun pelukannya di bahu orang itu masih tidak terlerai.

“Cik Zila, lepaslah bahu saya. Takkan rindu lagi nak peluk?” Begitu dekat suara lelaki itu di pendengaran telinga Zanzilawati Izzrunnie. Pucat wajah Zanzilawati Izzrunnie seketika. Kalau ditoreh dengan pisau pun pasti tidak berdarah.

“Ha... siapa yang aku peluk ni? Maira...” Zanzilawati Izzrunnie memanggil nama Nurhumaira yang juga turut menghantarnya di KLIA pada pagi itu. Tangannya beralih daripada terus memeluk erat tubuh jejaka itu lalu menyebamkan wajahnya ke bahu Nurhumaira.

Entah ke berapa kali ketawa mereka meletus melihat insiden-insiden lucu yang terjadi secara spontan.

“Salah kau juga... pakat rembat saja bahu sesiapa pun tanpa melihat siapa dia yang kau peluk.” Nurhumaira menyedekahkan kata-katanya sambil menyengih.

Kelat wajah Zanzilawati Izzrunnie ketika itu. “Apa tengok-tengok, Hazeef? Seronoklah tu.” Keras suaranya.

Hazril Hazeef melebarkan sengihannya seperti tidak cukup ruang.

“Takkanlah tak seronok dapat pelukan percuma kali kedua? Orang lain sekali tapi saya dua kali. Bangganya... kalau kali ketiga, confirm saya masuk meminang Cik Zila.” Hazril Hazeef tersengih nakal.

“Oi... lebihlah tu. Cikadak betul. Ada hati tu.... kelapa santan.” Terkeluar ayat itu tanpa sedar.

“Bahasa apa tu, Cik Zila? Kasih sayang ke?” Hazril Hazeef masih tidak mahu keluar dari kurungan gurauan.

“Banyaklah kau punya kasih sayang,” balas Zanzilawati Izzrunnie selamba.

Sekali lagi dan lagi ketawa mereka pecah.

Muammar dan Zuraizee hanya menggeleng kepala melihat tingkah Zanzilawati Izzrunnie yang cukup menghiburkan hati.